View: 1179|Reply: 0
|
[Johor]
Pecah rumah nak beli motosikal, tukang cat dipenjara 8 bulan
[Copy link]
|
|
Muar: Seorang tukang cat dipenjara lapan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memecah rumah dan melarikan telefon bimbit kerana didakwa mahu membeli motosikal, bulan lalu.
Tertuduh, Mohammad Izzat Amri, 20, yang berhadapan tiga pertuduhan termasuk air kencing positif dadah, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang baru beberapa bulan keluar dari Sekolah Henry Gurney di Melaka atas kesalahan bergaduh, didakwa memecah rumah di sekitar Bakri dan mengambil barangan berharga.
Kejadian pertama berlaku pada jam 11 malam di sebuah rumah di Batu 4, selepas tertuduh melarikan telefon bimbit milik mangsa berusia 55 tahun, pada 29 Julai lalu.
Pada hari sama juga, tertuduh sekali lagi melakukan perbuatan itu pada jam 11.30 malam dengan mengambil telefon bimbit milik mangsa 33 tahun.
Sebelum itu, polis turut menerima banyak laporan daripada mangsa berkaitan beberapa kejadian pecah rumah di sekitar Bakri sebelum tertuduh berjaya ditahan.
Tertuduh akhirnya mengakui dia melakukan perbuatan itu kerana mahu mendapatkan wang untuk membeli sebuah motosikal jenis Yamaha LC. Beberapa barangan seperti telefon bimbit dan dompet turut ditemui ketika tertuduh ditahan.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Siti Rohayu Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... t-dipenjara-8-bulan |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|