|
Shah Alam: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memperluaskan pelaksanaan program zikir dan selawat ke seluruh negara bagi memupuk perasaan cinta serta mengingati Allah dan Nabi Muhammad dalam kalangan umat Islam.
Perdana Menteri berkata, program seumpamanya penting untuk menyebarkan nilai dan akhlak yang diterapkan Nabi Muhammad, selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang digagaskannya.
Sehubungan itu, beliau mahu meneruskan majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 yang diadakan di Selangor malam ini, ke beberapa negeri lain selepas enam Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir pada 12 Ogos depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat dari kiri) diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tiga dari kiri) ketika hadiri Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 di Stadium Malawati, Shah Alam, malam ini. NSTP/ Faiz Anuar
"Alhamdulillah, malam ini bukan saja kita gegarkan Stadium Tertutup Malawati, tapi saya percaya dalam negara MADANI ini, alunan selawat pada Nabi Muhammad SAW turut menggegarkan seluruh Malaysia tercinta.
"Saya juga rasa bersemangat untuk meneruskan acara seperti ini. Terima kasih kepada saudara Amirudin (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari) yang mencetus gegaran dari Selangor melalui selawat ini.
"Insya-Allah, mudah-mudahan kita jadikan Selangor (permulaan) dan menjelajah ke seluruh negara.
"Biarlah selepas (selesai) sibuk-sibuk pilihan raya, tak mahu ganggu. Tapi selepas itu Insya-Allah kita akan (laksanakan jelajah) kerana majlis seperti ini mengetuk pintu hati nurani umat supaya ada kesedaran untuk menyegarkan hidup dengan mengingat, mengenang dan mencintai Nabi Muhammad SAW," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Darul Ehsan Berselawat 2.0 di Stadium Tertutup Malawati di sini, hari ini, yang turut dihadiri, Amirudin.
Terdahulu, Anwar yang berbaju Melayu putih dan bersampin, hadir bersama-sama lebih 5,000 hadirin yang menggegarkan Stadium Tertutup Malawati dengan gema alunan zikir, selawat dan qasidah di majlis yang bermula sejak jam 2 petang.
Perdana Menteri tiba kira-kira jam 9.30 malam sebelum meluangkan masa lebih 30 minit berqasidah dan berselawat bersama hadirin, yang dipimpin oleh Pengarang Qasidah Bahasa Melayu, Ustaz Neezam Albanjari.
Majlis itu turut dihadiri beberapa ulama dan ilmuwan seperti Sheikh Ashraf Hamed Hassanin, Sheikh Abdullah Jahaf, Sheikh Abu Zaki Yusuf dan Dr Ahmad Fakhurrazi Mohammed Zabidi.
Terdahulu, Ahmad Fakhurrazi yang juga pakar bidang tafsir di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengetuai solat Isyak dan majlis zikir munajat, di program anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dan Pertubuhan Damai dan Cinta Insani (Pendamai).
Selain berselawat dan zikir munajat, majlis bertemakan 'Bernafas dalam Hawqalah, Fakir Ila Allah,' turut diisi dengan program Gema Haflah Al-Quran, Qasidah dan Mahalul Qiyam serta Tausiyah.
Sumber: BH Online |
|