Bosan sepanjang hari di rumah tanpa sebarang aktiviti, seorang lelaki di Rusia merealisasikan impiannya menjadi anggota polis trafik.
Viktor, 48, dari Wilayah Stavropol, membeli pakaian seragam polis dan menyertai pegawai penguat kuasa undang-undang di kampung Pyatigorsky serta melakukan rondaan selama dua bulan, lapor Oddity Central.
 Gambar hiasan - The Moscow Times
Berbekalkan pakaian seragam, kemahiran lakonan yang hebat dan keyakinan diri, lelaki itu meronda di jalan sekitar Pyatigorsky.
Dia menahan pemandu yang cuai dan mendidik mereka mengenai pelbagai peraturan lalu lintas.
Tidak pasti mengapa Viktor memilih kerjaya itu atau sama ada dia menerima rasuah daripada pemandu ketika melakukan kerja berkenaan atau sebaliknya.
Bagaimanapun, penyamaran lelaki terbabit terbongkar dua bulan kemudian. Ia hasil pemeriksaan rakaman kamera badan polis trafik yang sedang melakukan rondaan di Jalan Pervomaiskaya di Pyatigorsky.
Pihak berkuasa menyedari ada lima anggota bertugas, walaupun hanya empat saja anggota yang direkodkan bertugas dalam rekod rasmi.
Ketika cuba mengenal pasti polis trafik yang kelima, mereka mendapati individu itu bukan anggota polis.
Siasatan menunjukkan Viktor membuat rondaan dengan empat anggota polis trafik sebenar sekurang-kurangnya lima kali sejak Mei, dan tiada seorang pun daripada mereka melaporkan sesuatu yang pelik mengenainya.
Selepas ditahan, Viktor mengaku menyamar sebagai anggota polis dan didakwa dengan kesalahan lalu lintas, pemakaian pakaian seragam rasmi secara salah dan menghalang tugas polis.
Sumber: Harian Metro |