|
Majed Salleh masih lemah, perlu pemantauan doktor
Pengarah dan pelakon, Majed Salleh kini menjalani rawatan di hospital.
Kuala Lumpur: Meskipun sudah dipindahkan ke wad biasa di Hospital Selayang, Selasa lalu keadaan jantung pengarah dan pelakon Majed Salleh, 65, masih lemah serta dalam pemantauan doktor.
Menurut isterinya, Nur Shida Mohd Zikir, 43, keadaan kesihatan suaminya nampak agak teruk dari sebelumnya.
"Suami terpaksa dikejarkan ke wad kecemasan di Hospital Selayang pada 17 Julai lalu kerana keadaan jantungnya lemah dan badannya juga bengkak.
"Kali ini agak teruk kerana ia sudah merebak ke bahagian hati dan buah pinggang.
"Saya nampak seperti bateri jantung yang dipasang itu kurang berkesan untuknya ," katanya kepada Harian Metro.
Nur Shida berkata, suaminya juga sudah dipindahkan ke wad biasa tetapi doktor masih memantau perkembangan kesihatan suaminya itu.
"Suami masih memakai oksigen dan dia mendapat serangan jantung beberapa kali pagi tadi dan doktor memberikannya 'morfin'.
"Suami juga tidak boleh bercakap banyak tetapi masih boleh menerima ahli keluarga dan rakan-rakan yang mahu melawat," katanya.
Mengulas pembedahan perentak jantung yang dijalankan sebelum ini, kata Nur Shida, ia berlangsung di Hospital Serdang, sebulan yang lalu.
"Pembedahan perentak jantung (alat elektronik atau bateri yang dipasang untuk mengawal degupan jantung) itu membabitkan kos RM72,000 dan ia ditanggung pertubuhan bukan kerajaan ," katanya.
Bagaimanapun, kata Shida, dia menguar-uarkan perkembangan kesihatan suaminya itu untuk pengetahuan rakan-rakan dalam industri seni tanah air.
"Saya harap rakan-rakan dapat buat suami gembira serta mendoakan kesembuhannya.
"Buat masa ini, suami berehat seketika dari bidang pengarahan dan lakonan sehingga kesihatannya pulih.
"Filem terbaru arahan suami adalah Syaitan Munafik yang dalam rangka promosi," katanya.
Terdahulu, keadaan pengarah dan pelakon drama rantaian popular, Gerak Khas dan Metro Squad ini dilaporkan kritikal apabila fungsi jantungnya tinggal 25 peratus sahaja.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/rap/20 ... u-pemantauan-doktor
|
|