Peniaga kedai makan di Jalan Pantai Chenang, Langkawi, sempat memberitahu dirinya dianiaya pihak tertentu selepas cedera pada muka dan badan apabila bungkusan yang dibuka tiba-tiba meletup dalam kejadian kelmarin.
Seorang pengusaha dobi, Emmi Melissa Mukhtar, 41, berkata, dia mendengar jeritan wanita warga Myanmar itu yang mendakwa dia dianiaya ketika mangsa keluar dari kedainya.
Keadaan kedai makan yang berselerak selepas satu bungkusan meletup sehingga peniaga kedai makan cedera di Jalan Pantai Chenang, Langkawi kelmarin.
Menurutnya, dia sebelum itu terkejut apabila mendengar bunyi letupan disusuli jeritan meminta tolong peniaga kedai makan yang terletak bersebelahan premis perniagaannya.
Tambahnya, dia kemudian melihat mangsa berusia 26 tahun itu keluar dari kedai disewanya dalam keadaan tangan dan muka berlumuran berdarah kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Saya juga dengar dia kata lebih kurang seperti ‘ada orang buat naya kat saya’ sebelum cuba hubungi talian kecemasan. Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menceritakan semula kejadian berkenaan, Emmi Melissa memberitahu, dia terkejut apabila terdengar bunyi kuat seperti letupan mercun dari kedai makan tersebut.
“Saya terus bergegas keluar kerana menyangka letupan itu disebabkan litar pintas kerana kedai sebelah ada buat banyak sambungan wayar elektrik, jadi saya padamkan suis utama terlebih dahulu sebelum berlari keluar.
“Selepas itu, saya ternampak habuk keluar dari kedai tersebut sebelum mendengar jeritan meminta tolong, namun saya tidak berani mendekati premis berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, dia hanya menyedari kejadian selepas mangsa keluar dari kedai dalam keadaan tangan dan muka berdarah.
Kosmo! kelmarin melaporkan seorang peniaga kedai makan warga Myanmar cedera pada muka dan badan selepas satu bungkusan yang dibukanya tiba-tiba meletup dalam kejadian di Jalan Pantai Chenang, pagi kelmarin.
Mangsa yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha, di sini dengan ambulans.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa mengalami kecederaan akibat letupan bungkusan yang ditemui di belakang sebuah restoran di situ.
Jelasnya, pihaknya masih mengesan suspek serta menyiasat motif sebenar kejadian dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kosmo! Online |