|
Filem Pulau terbitan WebTVAsia menjadi filem pertama dari Malaysia berjaya mencatat kutipan RM700,000 di Kemboja selepas ditayangkan di sana pada 22 Jun lalu.
Filem yang diedarkan syarikat Kemboja, Westec Media itu juga menjadi filem seram menduduki carta teratas paling banyak ditonton di negara itu bagi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WebTVAsia, Fred Chong menyifatkan kejayaan itu satu pencapaian sangat membanggakan untuk mereka serta industri filem tempatan khususnya.
"Angka itu memang sangat tinggi memandangkan populasi Kemboja ada 16.6 juta. Untuk mendapat jumlah kutipan begitu di Malaysia sendiri pun bukan semua filem mampu capainya.
"Jadi, ia sebuah pencapaian yang sangat tidak dijangka. Kalau ikutkan, di Vietnam pun sudah mencecah RM800,000 tapi populasi negara itu pula hampir 100 juta," katanya.
Menurut Fred, peluang mereka untuk mengedarkan filem itu di sana terbuka selepas dia menghadiri Festival Filem Antarabangsa Kemboja 2023, baru-baru ini.
"ulau menjadi satu-satunya filem Malaysia yang ditayangkan pada acara itu. Saya pun pertama kali berkunjung ke sana dan sebenarnya melihat ada ruang untuk filem menembusi pasaran sana," katanya.
WebTVAsia juga secara rasmi menandatangani memorandum kerjasama dengan Westec Media pada hari ini. Sidang media terbabit dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terbabit, Michael Chai.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Fred berkata, mereka sudah ada perancangan untuk ke depan termasuk mengukuhkan industri penciptaan kandungan kreatif.
"Saya melihat industri cipta kandungan sebenarnya sangat besar di sana. Jadi, kami di WebTVAsia mahu luaskan rangkaian menjadi rakan usahasama strategik majukan lagi industri itu di Kemboja," katanya.
Beberapa pelakon Pulau seperti Sanjna Suri, Ms Puiyi, dan Mark Odea antara yang hadir pada sidang media terbabit.
Sumber: Harian Metro |
|