ALOR SETAR: Disember lalu, media melaporkan tempoh perkhidmatan Prof Dr
Haim Hilman Abdullah sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) dipendekkan, berkuat kuasa 18 Januari 2023.
Lulusan ijazah sarjana muda dan sarjana pentadbiran perniagaan dari University of Portsmouth, United Kingdom itu yang dilantik ke jawatan pentadbiran tertinggi universiti berkenaan pada 17 Januari 2022 kemudian menjadi Profesor di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) UUM.
Haim Hilman, 50, yang turut memiliki ijazah kedoktoran dalam pengurusan strategik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pernah memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di universiti sama.
Februari lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, pemendekan tempoh perkhidmatan Haim Hilman dibuat berdasarkan
hasil siasatan yang dilakukan susulan aduan diterima daripada pensyarah dan Lembaga Pengarah UUM.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran aduan yang dimaksudkan, namun menegaskan siasatan sudah terlebih dahulu dilakukan terhadap aduan itu.
Difahamkan, Haim Hilman menamatkan perkhidmatannya hari ini bagi membolehkan beliau menjadi calon
Pilihan RayaNegeri (PRN), mewakili Perikatan Nasional (PN) dipercayai di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra.
Kerusi berkenaan disandang bekas Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang semalam mengumumkan partinya tidak akan menyertai PRN kali ini.
Malam tadi, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan calonnya daripada PKR, Datin Sabrina Ahmad bagi kerusi terbabit.
Ogos tahun lalu, Haim Hilman menafikan beliau berhasrat menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana fokus utamanya adalah membangun dan memajukan UUM serta komited untuk terus bekerja bersama warga universiti berkenaan.
Kelmarin, beliau dilihat menyertai Himpunan Munajat Perdana di Sik yang dihadiri Menteri Besar Kedah merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Muhammad Sanusi dalam ucapannya kemudian memaklumkan, dua bekas pemain bola sepak dan dua ahli akademik bertaraf profesor akan ditampilkan sebagai calon mewakili gabungan itu pada PRN akan datang.
Difahamkan, dua bekas pemain bola sepak berkenaan ialah Baddrol Bakhtiar dan Radhi Mat Din, masing-masing dijangka dipertaruhkan PN di DUN Bukit Selambau dan DUN Alor Mengkudu.