Tindakan sebuah laman Facebook (FB) dipercayai milik penyokong bola sepak tanah air membuat komen keterlaluan terhadap bintang bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi dikecam ramai.
Laman itu yang menggunakan nama, SELANGOR FANATIK OFFICIAL meninggalkan komen seakan mendoakan tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengalami kecederaan 'anterior cruciate ligament' (ACL).
 KOMEN admin Selangor Fanatik Official yang mendoakan Arif Aiman dapat ACL dikecam peminat bola sepak tanah air.
Komen "Semoga Arif Aiman kena ACL, gred 3" itu mendapat pelbagai kecaman daripada pelayar media sosial berkenaan dengan ada yang menganggap ia sebagai amat keterlaluan.
Selepas komen itu tular di media sosial, laman SELANGOR FANATIK OFFICIAL tampil membuat permohonan maaf kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia.
"Terlebih dahulu kami dari Selangor Fanatik memohon maaf kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia khususnya buat penyokong Selangor di atas komen balas yang dilakukan oleh salah seorang bekas admin kami yang mendoakan agar Arif Aiman kena ACL.
"Keputusan awal mesyuarat yang dibuat minggu lalu sekadar beri amaran terakhir kepada bekas admin kami itu.
"Namun setelah pertimbangan menyeluruh berikutan keadaan semasa, kami sebulat suara dengan memperoleh persetujuan bersama individu itu, maka malam tadi beliau mengundurkan diri secara sukarela sebagai admin page.
"Kami memandang serius isu ini kerana ia membabitkan kredibiliti admin yang terbabit dalam pengendalian page Selangor Fanatik ini. Kami yakin ramai mengetahui page ini hanya melontarkan fakta ketika komen balas dan bukan melalui emosi.
"Justeru itu, sekali lagi kami dari Selangor Fanatik memohon maaf bagi pihak si pelaku di atas keterlanjuran beliau dan kami akan cuba untuk mengawal supaya perkara sebegini tidak akan berulang lagi," jelas laman berkenaan.
Sumber: Harian Metro |