|
New York: Selama setahun, Stockton Rush tak putus asa meyakinkan pelabur yang berpangkalan di Las Vegas, Jay Bloom untuk membeli beberapa tempat di kapal selam syarikatnya supaya Bloom dan anaknya dapat mengalami keseronokan sekali dalam seumur hidup melawat bangkai kapal Titanic.
Bloom dan anak lelakinya Sean, 20, tertark dengan rancangan itu kerana turut terpesona dengan kisah kapal penumpang British itu sejak kecil.
Tetapi semakin Bloom membaca mengenai kapal selam Titan, semakin dia bimbang isu keselamatannya. Oleh itu, secara sopan dia menolak peluang saat akhir untuk menyertai ekspedisi akhir musim ini, dengan mendakwa terdapat konflik penjadualan.
Sebaliknya, Bloom berkata, dua kerusi yang tersedia di atas kapal diserahkan kepada ahli perniagaan kelahiran Pakistan, Shahzada Dawood dan anaknya, Suleman - yang terkorban, bersama Rush dan dua yang lain, minggu ini apabila Titan meletup jauh di bawah permukaan Atlantik.
Bagi Bloom, yang kehilangan kawan baik, pelakon Treat Williams, dalam kemalangan motosikal kurang dua minggu lalu, tragedi itu adalah peringatan buatnya tentang perkara yang benar-benar penting dalam kehidupan.
"Setiap kali saya melihat gambar ahli perniagaan Pakistan itu dan anak lelakinya yang berusia 19 tahun, saya fikir mungkin kami yang berada di tempat mereka," katanya.
Bloom menyiarkan satu siri mesej teks di Facebook antara dirinya dan Rush dari awal tahun ini, di mana Rush menolak tanggapan bahawa perjalanan itu berbahaya.
"Walaupun jelas ada risiko, ia lebih selamat daripada terbang dengan helikopter atau selam skuba," tulis Rush dalam satu mesej, menegaskan bahawa tiada sesiapa pun cedera di atas kapal selam bukan tentera dalam tempoh 35 tahun.
Bloom, yang mempunyai lesen helikopter persendirian, tidak yakin dengan kenyataan itu.
Dia amat bimbang dengan penggunaan alat ganti gred pengguna oleh Stockton di Titan - termasuk pengawal permainan video yang digunakan untuk mengawal kapal itu - dan badan kapal gentian karbon.
Malah, dia "terkejut" dengan fakta bahawa penumpang tidak dapat membuka Titan dari dalam, walaupun dalam keadaan kecemasan.
"Semakin banyak saya mengetahui tentang apa yang berlaku dengan operasi Stockton, semakin saya bimbang," katanya.
Guillermo Söhnlein, yang mengasaskan OceanGate bersama Rush pada 2009 berkata, Rush "sangat sedar" tentang bahaya meneroka laut dalam dan "sangat mengelak risiko."
Tetapi persoalan keselamatan mengenai reka bentuk Titan telah dibangkitkan sejak 2018, oleh pakar industri dan oleh bekas pekerja firma Rush.
Bloom berkata, keyakinan Rush tidak goyah.
"Itu adalah impiannya," kata Bloom. "Dia lelaki yang baik, saya sangat menyukainya, dan saya rasa dia mempunyai niat yang baik. Tetapi kini dia umpama meminum Kool-Aidnya sendiri." -CARI
Sumber: Harian Metro |
|