|
Kemunculan lelaki menggayakan blazer bersaiz besar bersama seluar pendek, but bertumit tinggi paras lutut dan aksesori rantai mencuri perhatian tetamu sebuah acara pertunjukan fesyen yang diadakan di Pulau Pinang pada 17 Jun baru-baru ini.
Bagaimanapun menerusi video tular di TikTok, Akim Ahmad, 26, kelihatan seolah-olah tidak memakai seluar memandangkan blazer yang digayakannya bersaiz besar sehingga dia dihujani pelbagai kecaman netizen.
Bercakap kepada mStar, dia mendedahkan pemilihan gaya itu merupakan idea sendiri dan sama-sekali tidak menyangka penampilannya akan menjadi perhatian rakyat Malaysia.
"Saya sebagai tetamu, hadir ke acara itu untuk memberikan sokongan kepada kawan saya yang juga seorang pereka fesyen. Untuk gaya itu, ideanya daripada diri sendiri. Saya mix and match, cuba tiru gaya pelakon Nabila Huda.
"Sebelum pergi ke acara itu, saya rasa penampilan saya paling ringkas. Mungkin akan ada tetamu lain yang lebih wow. Dan memang betul, ramai tetamu lain pakai lagi pelik. Cuma mereka tidak ditemubual, tiada dalam video.
"Apa yang saya gayakan merupakan koleksi sendiri. Ketika tiba di sana. Semua orang sangat supportive. Semua tetamu all out. Sebab itu pertunjukan fesyen, ia merupakan hari untuk kita tunjuk gaya kita," ujarnya ketika dihubungi mStar.
Mengulas kecaman yang diterima, Akim yang menetap di Kuala Lumpur mengakui dia tidak berkecil hati, malah menganggap ia sebagai lumrah biasa dalam kehidupan di media sosial.
"ada mulanya, individu itu upload video saya ke TikTok. Saya okey je. Kemudian ada orang sebar ke Facebook. Pada waktu itu, saya kata tak boleh nak buat apa dah. Kawan yang maklumkan saya dah viral di Facebook.
"Saya baca komen-komen kecaman. Yang mana bagi nasihat, saya ambil. Yang tak baik, saya buat tak tahu. Tapi kalau nak bercakap, ingatlah kita pun akan ada anak, cucu dan keluarga.
"Nak tegur tak salah, tapi ada caranya. Tapi saya okey sahaja. Saya terima segala teguran," ujar Akim yang bekerja dalam bidang retail di ibu negara.
Dalam pada itu, Akim berkata dia mungkin akan tampil dengan gaya lebih sopan dalam acara-acara akan datang bagi mengelak menjadi kecaman netizen.
"Lepas ni akan sopan sikit sebab tengok netizen macam marah. Kalau kita pakai sopan macam mana pula penerimaannya? Tapi sama saja.
"Sopan ke, pakai lelaki atau perempuan ke, kalau di mata orang dia tak suka, dia tetap tak suka. Kita tak boleh puaskan hati semua orang," ujarnya.
Sehingga kini, video temubual Akim yang dibuat seorang individu di acara Penang Fashion Show 2023 itu meraih lebih 100,000 tontonan dan turut dihujani lebih 700 komen netizen di aplikasi TikTok.
Sumber: mStar |
|