Edited by xanderz at 20-6-2023 12:18 PM
FlyFM Menjadi Stesen Radio Pertama Di Malaysia Menggunakan AI Sebagai Juruhebah Radio
Beberapa minggu lepas, kita telah melihat Astro menguji penggunaan penyampai berita berasaskan kepada kecerdasan buatan. Lanjutan daripadanya, kini masih dalam arena penyiaran, pihak FlyFM, iaitu sebuah stesen radio tempatan, hari ini mendakwa menggunakan kecerdasan buatan sebagai juruhebah radio.
Dinamakan sebagai Aina, FlyFM mengatakan ia adalah juruhebah radio pertama berasaskan kecerdasan buatan di Malaysia. Melalui penggunaan yang dilakukan sejak 2 petang hari in di stesen radio berkenaan, ia memperlihatkan penggunaan suara yang lancar, dan boleh merespon dengan pantas kepada pemanggil.
Buat masa ini, pihak FlyFM tidak menyatakan apakah teknologi sebalik yang menjananya.
Terdapat beberapa penawaran teknologi yang menawarkan penyelesaian berbentuk kecerdasan buatan untuk juruhebah radio, termasuk salah satu yang popular dan diperkatakan ramai adalah RadioGPT berasaskan GPT-4. Baru-baru ini, terdapat salah satu stesen radio di Amerika Syarikat turut menggunakan teknologi tersebut dalam siaran langsung stesen radio, dan mendakwa mereka adalah yang pertama di dunia melakukannya. Siaran ini telah dilakukan beberapa hari lepas, dan sekiranya mereka adalah pertama seperti didakwa, maka implementasi oleh FlyFM di Malaysia juga boleh dikatakan antara terawal di dunia.
Mungkinkah dengan langkah ini, kita akan melihat lebih banyak ujian integrasi kecerdasan buatan dalam pelbagai tugasan dan kerja harian yang pada masa kini diuruskan oleh manusia?
sumber : amanz.my
|