View: 196|Reply: 0
|
Gali Kubur Pun Susah Dek Pasang Pembetung Tak Ikut Spesifikasi
[Copy link]
|
|
Pemasangan pembetung atau culvert yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan menyebabkan limpahan air parit yang kerap berlaku di Kampung Sungai Pergam, Bagan Datuk, sejak lima tahun lalu.
Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hilir Perak, G Yogendren berkata, pihaknya sudah mengenal pasti permasalahan itu dan mengambil maklum keluhan penduduk.
Bagaimanapun katanya, permintaan penduduk termasuk mendalamkan parit hanya dapat dilaksana apabila isu utama iaitu masalah pembetung diselesaikan terlebih dahulu.
"Didapati, ada pembetung persendirian yang dibina di lot pertanian dan kediaman tidak mengikut spesifikasi ditetapkan JPS, justeru, ia mengganggu atau melambatkan aliran air parit ke kunci pintu air sebelum ke Sungai Perak.
"Dahulu, lintasan ke lot rumah dan pertanian menggunakan titi kayu yang mengurangkan masalah aliran air parit terhalang.
"Sekarang kebanyakan penduduk memasang paip pembetung konkrit, tetapi tidak mengikut spesifikasi," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Beliau berkata, ciri pembetung yang tidak ikut spesifikasi, antaranya termasuk bersaiz kecil, invert level dipasang tinggi dan pemilik tidak memantau cara pemasangan.
"Sekiranya lintasan pembetung masing-masing masih tinggi atau bersaiz kecil, usaha mendalamkan parit jika dilakukan pun, tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini untuk jangka panjang," katanya.
Justeru Yogendren berkata, masalah itu sudah dibawa ke perbincangan peringkat daerah dan kini dalam usaha mengenal pasti jumlah pembetung persendirian yang menjadi punca aliran parit terhalang.
Katanya, penguatkuasaan bersepadu dilakukan bersama beberapa agensi untuk menyelesaikan permasalahan secepat mungkin.
Berhubung cadangan penggunaan pam air untuk menyedut air bertakung di ladang, katanya, tiada keperluan untuk meletakkan pam air memandangkan aliran parit ke pintu air deras.
"Cuma pembetung yang bermasalah ini yang mengganggu aliran ke sungai... ini yang perlu diatasi," katanya.
Semalam, akhbar melaporkan lebih 200 penduduk Kampung Sungai Pergam terkesan dengan limpahan air parit setiap kali hujan lebat, hingga memusnahkan tanaman dan menenggelamkan tanah perkuburan.
Sumber: Harian Metro |
|
|
|
|
|
|
| |
|