|
Jawa Tengah: Seorang wanita ditemukan meninggal dunia dalam keadaan masih memeluk bayinya di rumah sewanya di Kompleks Perumahan Griya Pesona, Dusun Ngipik, Desa Kutoharjo, Pati, dekat sini, Rabu lalu.
Kompas.com melaporkan, mangsa, Budiati, 31 ditemui di dalam bilik tidur oleh suaminya, Mashuri, 35, selepas pulang dari bekerja di daerah Rembang selama beberapa hari.
Lokasi wanita berusia 31 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan masih memeluk bayinya. FOTO Tribunjateng.com/Mazka Hauzan Naufal
"Mashuri kemudian keluar meminta pertolongan daripada jiran. Beliau memaklumkan badan isterinya kaku dan terdapat kesan lebam pada pipi," katanya pada Khamis.
Sementara itu, tiga anak mereka ditemui dalam keadaan lemah, dengan anak bongsu yang masih bayi berada dalam dakapan ibunya.
"Dua anak lain yang berusia empat dan dua tahun dilihat memeluk punggung ibunya. Ketika saya tiba di sana, wanita itu sudah meninggal dunia dalam keadaan masih memeluk bayinya.
"Bayi berkenaan kemudian dikejarkan ke hospital kerana mengalami dehidrasi," katanya.
Hasil siasatan polis mendapati suami mangsa menjadi suspek utama kematian Budiati yang dipercayai menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Mashuri yang berbaju jingga dilihat hanya menunduk kepala ketika dibawa ke ruang siasatan Unit Siasatan Jenayah Polis Pati, pada Jumaat.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Pesuruhjaya Polis Pati Onkoseno G Sukahar berkata, hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan dera pada badan Budiati sebelum meninggal dunia.
"Ketika disoal siasat, Mashuri turut mengakui dia ada memukul isterinya.
"Daripada hasil bedah siasat, terdapat kesan lebam di kepala mangsa yang mengakibatkan kematian mangsa," katanya.
Sumber: Harian Metro |
|