CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 204|Reply: 0

[Perlis] Tiada lagi premis judi di Perlis selepas Mac tahun depan

[Copy link]
Post time 15-6-2023 10:39 AM | Show all posts |Read mode
Tiada lagi premis judi di Perlis selepas Mac tahun depan


Oleh Aizat Sharif - Jun 15, 2023 @ 10:36am  bhnews@bh.com.my







KANGAR: Tiada lagi pembaharuan lesen operasi premis perjudian di Perlis selepas Mac tahun depan dan langkah ini selaras hasrat kerajaan negeri menjadikan 'Perlis Bebas Premis Judi'.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis, Fakhrul Anwar Ismail, berkata walaupun kerajaan negeri tidak berhasrat meneruskan penyambungan lesen operasi premis perjudian di negeri itu, tetapi pemansuhan dan penamatan lesen tidak dilakukan secara drastik, sebaliknya mengikut tarikh luput atau penamatan lesen operasi pada premis terbabit.

"Ada premis perjudian ini yang tarikh tamat atau tarikh luput lesennya berlaku pada Julai, Ogos dan ada juga Mac tahun depan, jadi kita akan mengikut pada tarikh berkenaan yang mana tiada lagi pembaharuan lesen operasi premis ini dilakukan selepas luputnya lesen operasi mereka.

"Saya turut dimaklumkan oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) bahawa lesen operasi premis perjudian ini yang terakhir dalam negeri ini akan tamat pada Mac tahun depan," katanya selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Persiaran Wawasan, di sini, hari ini.

Katanya, sebelum langkah tidak memperbaharui lesen operasi premis perjudian ini dibuat, MPKPs sudah memberikan taklimat lisan dan surat pemakluman kepada pemilik premis perjudian di seluruh Perlis berhubung langkah diambil itu.

"Kita juga mengambil langkah yang rasional dalam hal ini iaitu penamatan operasi premis perjudian ini akan dilakukan secara berperingkat dan tidak serentak atau tergesa-gesa.

"Ini kerana kita mahu memastikan pemilik premis perjudian ini dapat bersedia dengan keputusan dikeluarkan kerajaan negeri ini, selain berlaku adil kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, langkah dilaksanakan ini sudah dalam perancangan kerajaan negeri, namun ia belum diumumkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

"Disebabkan itu juga, kita tidak berminat mengambil atau berada dalam satu keadaan sensasi kerana kita mahu ia dilaksanakan dalam keadaan harmoni.

"Malah, pada sidang DUN Perlis, kita juga sudah beritahu kepada ADUN mengenai pendirian kerajaan negeri yang tidak akan meneruskan atau memperbaharui lesen operasi premis perjudian ini.

"Premis perjudian dalam Perlis ini tidak banyak, hanya sekitar enam premis saja jadi ia mudah untuk diuruskan langkah kerajaan negeri ini," katanya.

Fakhrul Anwar berkata, setiap tahun MPKPs mengutip RM2,544 bagi enam premis perjudian di negeri ini dalam memperbaharui lesen operasi premis ini.

Susulan itu, beliau menganggap tidak wujud isu kerajaan negeri tidak telus dalam penyampaian maklumat berhubung status lesen operasi premis perjudian di negeri itu seperti didakwa ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling yang juga Ketua Pembangkang dalam DUN Perlis.

Ay Ling sebelum ini melahirkan kekecewaannya terhadap tindakan kerajaan negeri yang dikatakan tidak telus apabila tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian di negeri itu meskipun kerajaan negeri dikatakan masih belum mengeluarkan sebarang keputusan atau tindakan terhadap isu berkenaan.

Naib Pengerusi 2 Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis itu turut mempersoalkan ketelusan kerajaan negeri dalam mengendalikan perkara sensitif berkenaan terutama dalam membabitkan masyarakat bukan Islam di negeri itu.

Hanya enam premis perjudian beroperasi di negeri ini iaitu tiga daripadanya di Kangar, dua di Arau dan sebuah lagi di Kuala Perlis.








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 08:12 PM GMT+8 , Processed in 0.066235 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list