CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 190|Reply: 0

[Kelantan] 'Semoga ini yang terakhir '

[Copy link]
Post time 13-6-2023 09:32 AM | Show all posts |Read mode

MOHAMMAD Amin Jundail dan Rokiah Samat berkahwin atas dasar cinta. FOTO Ihsan Mohammad Amin Jundail

Pasir Puteh: "Walaupun usianya jauh lebih muda, saya yakin suami mampu jaga saya sehingga akhir hayat dan berharap ini adalah perkahwinan terakhir," kata Rokiah Samat yang mempunyai 10 anak dan nenek kepada 22 cucu dan juga moyang kepada seorang cicit.

Ditakdirkan, Rokiah, 62, bertemu jodoh dengan lelaki muda berstatus bujang, Mohammad Amin Jundail yang baru berusia 27 tahun.

Selain perasaan cinta, Rokiah menerima lamaran Mohammad Amin sebelum mereka dinikahkan pada 9 September tahun lalu selepas mendapat persetujuan anaknya.

Berkongsi kisah sebenar, Rokiah yang juga suri rumah mengakui pernah dua kali berumah tangga, namun kedua-duanya kecundang kerana jodoh tidak panjang.

Bagaimanapun, keinginan untuk mempunyai pasangan hidup membuatkannya tidak serik untuk berumah tangga buat kali ketiga.

"Perkahwinan pertama saya pada 1977, namun hanya bertahan selama 40 tahun selepas saya dan bekas suami nekad berpisah enam tahun lalu.

"Pada 2018, saya sekali lagi berkahwin dengan warga Myanmar, namun hanya bertahan selama dua tahun. Saya terpaksa menuntut cerai kerana tidak boleh teruskan hubungan jarak jauh bersama pasangan yang bekerja di China.

"Tanggal 21 Oktober 2021, saya terima kiriman mesej daripada suami di TikTok dan berkenalan lebih rapat selepas bertukar nombor telefon," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Rokiah, keperibadian dan keserasian Mohammad Amin dengan anak-anaknya turut membuka hatinya untuk menerima suaminya itu sebagai teman hidup.

Katanya, pengalaman mempunyai pasangan lebih muda dan sebaya dengan suaminya sekarang juga yang meyakinkannya untuk berkahwin lagi.

"Saya tak suka duduk dengan anak dan lebih selesa tinggal sendiri. Pada masa sama, saya perlukan teman hidup dan sebab itu berkahwin lagi.

"Alhamdulillah, anak boleh terima dan panggil suami Pa, malah orang sekeliling juga tak kisah kerana tahu saya pernah berkahwin dengan pasangan muda sebelum ini.

"Lagipun, ini ketentuan Allah. Bagi saya, apa yang lebih penting bukan usianya tetapi dapat suami jujur dan ikhlas dalam perhubungan," katanya.

Sementara itu, Mohammad Amin yang bekerja sebagai tukang urut selain menguruskan pemasaran produk kecantikan berkata, dia tidak pernah meletakkan usia sebagai kriteria utama dalam mencari pasangan.

Menurutnya, dia mengakui pernah menjalin hubungan dengan wanita berusia 40-an sebelum ini, namun tiada jodoh untuk hidup bersama.

Katanya, apabila video isteri lalu di TikTok, dia memberanikan diri menghantar mesej kepada wanita itu dan dapat respons serta-merta.

"Selepas dua bulan berhubung, saya bertemu dengan isteri apabila ke rumahnya pada 10 Januari tahun lalu sempena hari jadi saya.

"Alhamdulillah, anak-anaknya menerima saya dengan baik dan saya menaruh hati kepada isteri selepas timbul rasa rindu serta cemburu kalau panggilan tak dijawab.

"Bagaimanapun, saya buat solat istikharah tiga kali seminggu sebelum kahwin untuk mohon petunjuk dan syukur semuanya dipermudahkan hingga kami diijabkabulkan," katanya yang turut mendapat restu keluarganya.

Menurut Mohammad Amin, setakat ini, hubungannya dengan isteri dalam fasa baik dan berdoa jodoh berpanjangan.

Berhubung perkongsian di TikTok, Mohammad Amin berkata, niatnya hanya untuk berkongsi kisahnya dan tidak menyangka tular.

"Bagaimanapun, 80 peratus komen baik dan selebihnya tak percaya kami suami isteri.

"Ada juga yang kata saya kahwin dengan isteri sebab nak tumpang kemewahannya, sedangkan saya tak goyang kaki dan cari rezeki dengan bekerja," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... a-ini-yang-terakhir
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-5-2024 11:29 AM GMT+8 , Processed in 0.047735 second(s), 24 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list