CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 190|Reply: 0

[Perlis] Polis tahan 3 lelaki pukau wanita, serahkan barangan kemas RM19,000

[Copy link]
Post time 4-6-2023 12:07 AM | Show all posts |Read mode
Polis tahan 3 lelaki pukau wanita, serahkan barangan kemas RM19,000


Oleh Aizat Sharif - Jun 3, 2023 @ 11:09pm bhnews@bh.com.my







KANGAR: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia kerana disyaki menipu seorang suri rumah dengan cuba melarikan barangan kemas milik mangsa bernilai RM19,000 di Pasar Besar Perlis, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata kejadian berlaku pada kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa berusia 51 tahun itu sedang membeli-belah di pasar berkenaan sebelum didatangi dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang tidak dikenali menawarkan membuat pemeriksaan perubatan ke atas mangsa.

"Suspek bertanyakan mengenai kesihatan mangsa dan meminta mangsa mengikut mereka ke kawasan berdekatan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan seperti ditawarkan.

"Kemudian, suspek meminta mangsa menyerahkan masing-masing dua utas gelang emas dan cincin serta sepasang subang emas yang mana mangsa segera menyerahkan kepada suspek," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, selepad serahan dilakukan, suspek kemudian menukarkan barang berkenaan kepada beberapa duit syiling dan beberapa keping pelapik skru ke dalam sampul surat sebelum diserahkan kepada mangsa.

"Selepas urusan berkenaan, suspek melarikan diri menaiki kereta PROTON Saga Flex berwarna merah, namun kejadian itu disedari orang ramai yang berada di pasar berkenaan.

"Orang awam yang melihat perbuatan suspek itu segera mengejar kereta suspek sehingga ke Taman Intan di Kangar dan dibantu polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau yang segera bertindak menahan suspek termasuk seorang lagi lelaki ditemui dalam kereta itu," katanya.

Beliau berkata, polis berjaya merampas barang kemas yang disimpan dalam sampul surat berwarna coklat dalam papan pemuka kereta itu.

"Kita berjaya menemui semula dua utas gelang dan dua bentuk cincin emas, sepasang subang emas dan sebuah loket emas dalam sampul berkenaan.

"Semakan mendapati, kereta digunakan suspek disewa di Johor, manakala suspek yang ditahan berusia antara 52 hingga 65 tahun berasal dari Tampoi, Johor Bahru, Port Dickson dan Tanjung Pinang, Indonesia," katanya.

Yusharifuddin berkata, kejadian berkemungkinan mempunyai unsur pukau memandangkan mangsa dengan mudah menyerahkan segala barang kemas miliknya kepada individu tidak dikenalinya.

Suspek akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 11:11 PM GMT+8 , Processed in 0.104036 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list