CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 240|Reply: 1

[Perlis] Wanita warga emas maut, dipercayai didera anak, menantu

[Copy link]
Post time 1-6-2023 11:17 PM | Show all posts |Read mode
Wanita warga emas maut, dipercayai didera anak, menantu


Aizat Sharif
am@hmetro.com.my



POLIS menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kematian seorang mualaf warga emas yang dipercayai didera. FOTO IHSAN ORANG RAMAI




Arau: Sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki terbabit mendera seorang wanita mualaf warga emas sehingga meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang, di sini hari ini.

Polis menerima maklumat sekitar jam 5.30 pagi apabila mangsa berusia 74 tahun dan berasal dari Paka, Terengganu dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar sejam sebelum itu kerana tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada Pegawai Perubatan dari Unit Kecemasan HTF yang mengatakan bahawa mangsa meninggal dunia disyaki dipukul.

"Hasil siasatan awal mendapati sekitar jam 4.10 pagi, wanita itu dikejarkan ke hospital disebabkan tidak sedarkan diri dan doktor yang memberi rawatan awal bagaimanapun mengesahkan mangsa meninggal dunia.

"Pemeriksaan luaran bahagian badan mangsa kemudian mengesan terdapat kesan lebam pada kedua-dua mata, dahi, telinga kanan dan sedikit kesan luka pada jari kaki kiri.

"Mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi menjalani proses bedah siasatan pada jam 3 petang tadi dan hasil keputusan bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada tubuh mangsa iaitu kesan lebam di bahagian kedua-dua belah mata, dahi, ubun kepala, lidah sisi kiri akibat tekanan," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, tiga tulang rusuk kiri mangsa juga disahkan patah akibat tekanan namun sehingga kini punca kematian masih belum dapat disahkan dan diklasifikasikan serta sedang menunggu keputusan makmal.

"Kertas siasatan dibuka dan temubual awal kita dengan suspek yang juga anak perempuan wanita itu berusia 34 tahun mengaku memukul mangsa menggunakan tangan pada bahagian muka dan kepala pagi semalam.

"Temubual awal dengan suami suspek yang juga berusia 34 tahun turut disyaki terbabit dalam kejadian itu berdasarkan keterangan yang meragukan," katanya.

Ahmad Mohsin berkata, sebelum wanita itu meninggal dunia berlaku pertengkaran antara mangsa dan anaknya itu.

"Punca pertengkaran adalah disebabkan suspek tidak tahan dan tertekan dengan kerenah serta ragam mangsa sedangkan wanita itu dipercayai menderita akibat sakit strok di bahagian badan sebelah kiri.

"Suspek wanita adalah suri rumah manakala suaminya adalah ahli perniagaan bagaimanapun tidak mengaku membunuh mangsa dan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.



Disiarkan pada: Jun 1, 2023 @ 10:26pm










Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 2-6-2023 12:08 AM | Show all posts
Pasangan suami isteri tidak mesra, jarang bergaul dengan jiran


Aizat Sharif
am@hmetro.com.my



Tinjauan rumah suspek dan mangsa di Arau mendapati rumah suspek terkunci rapi. FOTO AIZAT SHARIF




Arau: Pasangan suami isteri yang disyaki terbabit mendera seorang wanita mualaf warga emas sehingga maut di sebuah kediaman di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang, di sini hari ini didakwa tidak mesra dan jarang bergaul dengan jirannya.

Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 34 tahun itu bukanlah orang tempatan di kawasan itu namun sudah menyewa kediaman berkenaan sejak setahun yang lalu.

"Saya difahamkan si suami berasal dari Johor dan isterinya pula berasal dari Terengganu dan mereka mempunyai tiga anak masih kecil selain seorang wanita warga emas dalam jagaan mereka yang saya rasakan berusia sekitar 70an.

"Saya tidak tahu sebenarnya apa pekerjaan sebenar menantu mangsa itu cuma apa yang kami di sini tahu adalah menantu mangsa dikhabarkan sedang menyambung pelajarannya dalam bidang falsafah di sebuah universiti tempatan di sini dan isterinya pula suri rumah sahaja.

"Tidak banyak sebenarnya yang kami penduduk di sini tahu mengenai pasangan suami isteri ini. Mereka jarang bergaul atau bercampur dengan masyarakat di sini, mereka lebih senang hal sendiri," katanya ketika ditemui di kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, dia terkejut apabila sekitar jam 10 pagi tadi, didatangi oleh anggota polis yang bertanyakan mengenai kejadian yang menimpa jirannya itu.

"Tidaklah pula kami dengar atau nampak ada berlaku pergelutan atau sebarang kejadian mencurigakan dalam rumah itu.

"Tapi kami tahu pasangan suami isteri ini menjaga orang tua. Malah, jikalau cuti juga, pasangan suami isteri ini senang berkurung dalam rumah mereka," katanya.

Tinjauan rumah suspek dan mangsa yang terletak di Jalan Cempaka Putih 4 di taman perumahan berkenaan mendapati rumah suspek terkunci rapi selain terdapat sebuah kereta jenis Perodua Myvi diletakkan di halaman rumah teres satu tingkat itu.

Namun lilitan garisan polis masih lagi diletakkan di belakang rumah berkenaan untuk menghalang orang ramai daripada menceroboh rumah mangsa.



Disiarkan pada: Jun 1, 2023 @ 11:27pm











Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 05:41 AM GMT+8 , Processed in 0.084654 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list