CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 268|Reply: 1

[Pulau Pinang] Jika Sanusi serius, jumpa di mahkamah - KM Pulau Pinang

[Copy link]
Post time 30-5-2023 09:18 PM | Show all posts |Read mode
Jika Sanusi serius, jumpa di mahkamah - KM Pulau Pinang


Oleh Audrey Dermawan - Mei 30, 2023 @ 8:06pm bhnews@bh.com.my




Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjawab soalan akhbar semasa sidang media di Arked The Whiteaways, Beach Street, Pulau Pinang. - Foto NSTP/MIKAIL ONG




GEORGETOWN: "Jumpa kamu di mahkamah." Demikian mesej ringkas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan terbaharunya Pulau Pinang milik Kedah.

Kon Yeow berkata jika Sanusi serius mengenai dakwaan itu, mereka boleh menyelesaikan hal demikian di mahkamah.

"Beliau bergurau kata Pulau Pinang milik Kedah. Satu gurauan yang bukan baharu tetapi serius, gurau secara serius, maka kita dengar dengan serius juga.

"Sanusi boleh terus bergurau," katanya ketika diminta mengulas dakwaan terbaru Sanusi pada sidang media pengumuman Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang di di The Whiteaways Arcade di Beach Street di sini, hari ini.

Semalam, Sanusi mendakwa Pulau Pinang adalah di bawah hak milik Kedah.

Beliau berkata, Perak dan Perlis adalah satu-satunya negeri yang mempunyai sempadan dengan Kedah.

"Saya tunggu dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) kalau ada asas ditentusahkan sempadan Kedah dengan negeri jiran lain, yang saya tahu Pulau Pinang itu Kedah punya.

"Jadi tak dak la (tiada) sempadan Kedah Pulau Pinang tu, sempadan negeri kita (Kedah) dok sebelah Balik Pulau, dengan Perak mungkin ada... nak ukur kat mana, nak pakai warta (undang-undang) nombor berapa?" katanya.

Ditanya sama ada beliau akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Sanusi, Kon Yeow berkata, seperti sebelumnya, beliau berkali mengingatkan Sanusi supaya bertemunya di mahkamah.

"Apa-apa tuntutan termasuk tuntutannya untuk bayaran air dan tuntutan (kepentingan) di Seberang Prai. Kita jumpa di mahkamah sekiranya ada apa-apa tuntutan," katanya.

Mengulas bentuk tindakan dan ingatan terhadap Sanusi, Kon Yeow berkata: "Saya tidak berani menasihatinya. Dia adalah Menteri Besar. Jika ada yang menasihatinya, biarlah rakyat dan pengundi."

Kepada soalan sama ada beliau berpendapat Sanusi menjadikan ini sebagai isu kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Kon Yeow berkata Sanusi mungkin tidak mempunyai isu untuk dibangkitkan.

"Sekali lagi, jika dia serius, kita boleh berjumpa di mahkamah. Saya sudah mengulas isu ini berulang kali. Media mungkin bosan," katanya.







Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 30-5-2023 10:02 PM | Show all posts
Edited by sfhzuraz at 30-5-2023 10:04 PM

Kenyataan Sanusi gores hati rakyat Pulau Pinang - Guan Eng

oleh   SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI  30 Mei 2023   09:01pm





Guan Eng




GEORGETOWN - Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung Pulau Pinang milik Kedah menggores hati dan menghina rakyat Pulau Pinang.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga mencabar kedaulatan Pulau Pinang, menggugat perpaduan negara serta tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Muhammad Sanusi juga didakwa sanggup menghasut sentimen orang ramai demi pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti.

"Beliau bukan sosok cintakan keamanan dan keharmonian dalam negara ini selain merupakan pemimpin yang sangat berbahaya kepada negara.

"Saya berharap agar rakyat Pulau Pinang dapat melihat dengan jelas wajah sebenar Perikatan Nasional (PN). Ini aksi untuk elak rakyat fokus kepada kegagalan pemimpin negeri terutamanya isu air.

"Saya juga percaya rakyat Pulau Pinang mempunyai mata yang tajam dan pastinya akan melindungi Pulau Pinang dari kerakusan kuasa pemimpin PN," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Selasa.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kenyataan Muhammad Sanusi itu juga mampu menjejaskan perpaduan negara selain melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Jalur Gemilang ada bintang pecah 14 dan 14 jalur melambangkan 13 buah negeri (termasuk Pulau Pinang) dan Wilayah Persekutuan. Jata Negara Malaysia ada imej pokok pinang dan Jambatan Pulau Pinang yang mewakili negeri Pulau Pinang.

"Perlembagaan Persekutuan memberikan keabsahan kepada kedudukan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada 13 negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia. Selain itu, Pulau Pinang dan Kedah telah mewartakan enakmen negeri yang meletakkan sempadan negeri di 'garis pusat' Sungai Muda pada 1985.

"Enakmen ini menyatakan sebahagian daripada Sungai Muda dimiliki oleh Pulau Pinang, maka Pulau Pinang berhak untuk menimba air dari Sungai Muda. Selain itu, ada batu penanda sempadan di Pinang Tunggal yang bertujuan membahagikan kawasan antara Kedah dan Pulau Pinang," katanya lagi.

Guan Eng turut mendakwa Muhammad Sanusi sengaja tidak peduli dan tidak mahu mendengar kesemua fakta tersebut.

"Sebagai Menteri Besar Kedah, beliau tak nak tengok, tak nak dengar dan tak peduli. Dalam keadaan sedar, beliau buat kenyataan bahawa 'Pulau Pinang masih hak Kedah', membayangkan dasar Pas kini adalah untuk meletakkan Pulau Pinang di bawah negeri Kedah.

"Dengan pendirian sedemikian, kenapa Pas masih nak tanding di Pulau Pinang dan bagaimana Pas boleh mewakili rakyat Pulau Pinang?

"Kita juga mahu tahu adakah ADUN Pas di Pulau Pinang dan rakan sekutu PN (Bersatu dan Gerakan) akan bangun mempertahankan kedaulatan Pulau Pinang dan hak anak negeri Pulau Pinang, menentang kenyataan Sanusi dan meminta beliau minta maaf kepada rakyat Pulau Pinang?" katanya.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut yang mana, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Muhammad Sanusi turut mendakwa, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

2-5-2024 04:55 AM GMT+8 , Processed in 0.051607 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list