|
Kuching: Seorang remaja perempuan hilang manakala 13 lagi selamat apabila perahu yang mereka naiki karam berhampiran Jambatan Mujong, di Kapit, hari ini.
Mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Linsa Empih Melin, 17, berasal dari Rumah Panjang Geramong, Nanga Sipoh, Mujong Tengah, Kapit.
Gambar hiasan
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian bot karam itu pada jam 2.36 petang.
Beliau berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
"Kejadian itu berlaku akibat arus deras dan perahu itu pula sukar dikawal kerana membawa lebih muatan.
"Ketika kejadian semua mangsa menaiki perahu itu dari pekan Kapit menuju Rumah Panjang Geramong, Nanga Sipoh di Mujong Tengah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, 13 mangsa yang terselamat dalam kejadian itu terdiri daripada enam lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan empat kanak-kanak lelaki.
"Keadaan cuaca menyukarkan operasi mencari dan menyelamat petang ini dan pencarian akan diteruskan esok," katanya.
Sumber: Harian Metro |
|