|
PETALING JAYA – Sebuah keluarga hanya sempat merasaia keseronokan menaiki kereta Perodua Alza baharu kira-kira dua jam, sebelum berdepan kemalangan didakwa dilanggar kereta lain.
Kisah sedih itu dimuat naik seorang pemilik Facebook dikenali sebagai Ea Sya yang berkongsi gambar keadaan kereta Perodua Alzanya selepas dilanggar kenderaan lain pada ‘group’ Perodua Alza D27A Malaysia.
Foto: FB
“Pada 13 Mei 2023, malang tak berbau. Kegembiraan kami membawa duka dan tragis untuk keluarga kami. Kereta baru ambil dari Kuala Lumpur balik dalam perjalanan ke Johor Bharu, dua jam memandu sudah kena langgar dari belakang.
“Hanya Allah sahaja tahu rasa terkilan kami. Tunggu Alza lapan bulan, pakai dua jam sudah kena langgar. Doakan kami sekeluarga kuat,” katanya menerusi perkongsian tersebut.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan, keadaan kereta warna hitam itu sangat teruk di bahagian belakang dan depan selain cerminnya pecah.
Perkongsian itu mendapat maklum balas simpati daripada orang ramai yang bersedih atas ujian dihadapi wanita tersebut.
“Allahuakbar, berat ujian. Nampak macam ‘total lost’. Semoga dipermudahkan urusan anda sekeluarga,” komen Misbah Movic.
“Semoga bertabah ujian dengan ujian ini puan sekeluarga. Insya-Allah ada rezeki lebih baik,” kata Asyraf Samsudin.
Dalam pada itu, ada pengguna Rayyah Rich Trading memaklumkan, wanita itu boleh mendapatkan kereta baharu ekoran kejadian tersebut.
“Insya-Allah untuk awak, insurans akan ganti kesemuanya, jadi awak boleh ambil kereta baharu. Kena tunggu giliran, tunggu siasatan. Makan masa juga tu.
“Tapi saya rasa pemilik kereta akan ambil kereta lain selepas trauma dengan kejadian ni. Saya cuma bantu bagi semangat yang pemilik kereta akan terima pampasan, itu sahaja,” katanya. -CARI
Sumber: Kosmo |
|