|
Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 bagi memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri.
RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas lapan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU berkenaan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata pemansuhan Seksyen 309 untuk meniadakan kesalahan percubaan bunuh diri di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan, akan menjadi anjakan dalam usaha mencegah kes cubaan bunuh diri di Malaysia dan menggalakkan mereka yang terkesan tampil ke hadapan untuk mendapatkan bantuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.
Ia juga akan menghapuskan stigma terhadap perbuatan cubaan bunuh diri, seterusnya menurunkan kadar kematian bunuh diri.
Ramkarpal berkata, Seksyen 309 adalah peruntukan dari abad ke-19 yang wujud kerana anggapan lama bahawa tindakan menjenayahkan adalah cara terbaik untuk menghalang perbuatan percubaan membunuh diri.
"Kini, berdasarkan pendekatan diambil negara luar, dilihat rawatan perubatan dan bukan pendakwaan adalah tindakan paling sesuai bagi menangani isu ini.
"Justeru, kerajaan berpandangan Seksyen 309 Akta 574 wajar dimansuhkan untuk mengubah pendekatan kepada cubaan bunuh diri daripada yang bersifat punitif pada masa ini kepada suatu pendekatan yang berasaskan kepada rawatan perubatan," katanya.
Bagaimanapun, Ramkarpal menjelaskan kesalahan persubahatan membunuh diri di bawah peruntukan Seksyen 305 dan 306 Akta 574 akan dikekalkan menjadi suatu kesalahan, dengan persubahatan dalam cubaan bunuh diri akan turut dijadikan kesalahan jenayah di bawah peruntukan sama.
Sementara itu, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 turut diluluskan Dewan Rakyat, sebagai pindaan kepada Akta 593 yang berbangkit pindaan Akta 574.
Ia antara lain untuk memasukkan persubahatan perlakuan percubaan bunuh diri oleh kanak-kanak atau orang kurang keupayaan mental atau oleh mana-mana orang sebagai satu kesalahan jenayah.
Satu lagi RUU berkaitan pindaan Akta 593, iaitu RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 dijangka dibahaskan esok.
Sumber: BH Online |
|