Enggan identiti didedahkan, dia mengakui kehidupannya selama ini berbeza dengan masyarakat normal kerana bernafsu songsang, gay.
Segalanya bermula selepas dia melakukan ujian HIV yang diperoleh daripada seorang wanita yang menawarkan kit ujian secara percuma.
"Masa tu saya sedang meneliti aplikasi sosial, tiba-tiba terperasan akaun 'free HIV testing'. Jadi tanpa ragu-ragu, saya hubungi dia untuk beli kit ujian tersebut.
"Tetapi ia tidak dijual, oleh itu pada 17 April, kami berjumpa. Masa ni saya bekerja dari rumah dan dalam bulan puasa.
"Keadaan kesihatan pun secara fizikal memang tidak ada apa-apa. Saya berketinggian 163 sentimeter, 59 kilogram," ujarnya memulakan ciapan.
Bagi lelaki itu, tindakan untuk membuat ujian tersebut adalah satu 'gerakan hati' daripada Allah.
Mana tidaknya, dia tidak menyangka akan dijangkiti penyakit tanpa penawar yang akan merubah kehidupan 360 darjah.
"This HIV testing macam Allah yang 'gerakkan'. If not, nauzubillah until today I tak akan tahu pun ada HIV.
"Selepas 15 hingga 20 minit, dia alihkan kertas dan saya nampak dua garisan. Saya langsung tidak menyangka yang kehidupan akan berubah pada masa ini," luahnya yang terkejut sehingga tidak dapat berkata-kata pada masa itu.
Malah reaksi pertamanya selepas melihat keputusan ujian darah berkenaan adalah pening sehingga muntah.
Pernah terfikir untuk menamatkan hidup, dia mengakui rasa sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku.
Tambahan pula, dia memiliki kerjaya yang stabil di bawah syarikat multinasional (MNC).
"Saya teringat wajah setiap seorang ahli keluarga... fikir mati dan rasa macam manusia tak berguna lagi.
"Saya pernah persoalkan kenapa diuji sebagai gay selain memohon untuk kembali kepada kehidupan normal sebagai umat Islam kerana tidak suka bergelumang dengan kehidupan ini, tetapi nafsu memang selalu menang," tambahnya.
Di saat umat Islam gembira untuk meraikan kedatangan Syawal, lelaki ini diselubungi dengan perasaan gundah untuk pulang ke kampung halaman pada 20 April.
Susulan daripada itu, dia membuat pemeriksaan lanjut di Klinik Kesihatan.
"Memang rasa macam orang yang gagal dan sebagai rakyat, saya menjadi satu beban kepada negara," luahnya yang bergelut dengan perasaan sendiri selepas dikategorikan sebagai PLHIV (people living with HIV).
Sering memuatnaik status tentang perkembangan diri di Twitter, lelaki ini menyatakan dia mahu kisah hidupnya menjadi iktibar kepada masyarakat.
Sebagai peringatan bersama, gaya hidup homoseksual adalah haram dan ditegah dalam Islam.
Penjelasan mengenainya dihuraikan secara panjang lebar menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi topik Perlakuan Homoseksual Dalam Islam.
Sumber: mStar