CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 162|Reply: 0

[Pulau Pinang] Pulau Pinang tidak berbalah dengan Kedah mengenai isu air

[Copy link]
Post time 19-5-2023 05:10 PM | Show all posts |Read mode
Pulau Pinang tidak berbalah dengan Kedah mengenai isu air


Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Mei 19, 2023 @ 4:28pm bhnews@bh.com.my







GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang tidak berbalah dengan Kedah berhubung isu gangguan bekalan air yang melanda kedua-dua negeri itu baru-baru ini.

Menolak dakwaan konfrontasi itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata apa yang beliau nyatakan berhubung perkara itu sebelum ini adalah bekaitan pintu baraj yang terbuka kerana masalah teknikal dan menyebabkan air Sungai Muda susut mendadak terletak di bahagian Kedah dan bukan Pulau Pinang.

Katanya sesiapa sahaja yang mengikuti sidang akhbar atau kenyataan yang dibuat beliau akan mendapati beliau tidak pernah mengkritik Kedah berhubung kejadian penurunan paras air Sungai Muda baru-baru ini.

"Anda mengikut saya dengan begitu dekat dan rapat bilakah kenyataan saya kritik Kedah atas kejadian itu kalau orang lain konfrontasi saya tidak tahulah tapi bukan saya.

"Saya sampai minta SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) siasat untuk mendapatkan kepastian apakah yang berlaku," katanya dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff yang menyeru kerajaan negeri supaya menghormati dan tidak lagi berkonfrontasi dengan Kedah berkaitan isu air.

Kon Yeow berkata pihaknya memahami hakikat masalah pintu air di baraj yang menjadi faktor masalah itu merupakan seliaan di bawah Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang merupakan badan di bawah Kerajaan Persekutuan.

"Apa yang saya jelaskan mula-mula Menteri Besar Kedah kata baraj di Pulau Pinang (perlu diperbaiki) tapi mengikut laporan, pintu air yang tidak berfungsi itu (terletak) di bahagian Kedah itu saya katalah...pintu air di bahagian Kedah yang tidak berfungsi bukan di Pulau Pinang itu sahaja saya kata," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow memaklumkan, SPAN telah membuat lawatan ke Pulau Pinang dan Kedah sejak semalam dan hari ini bagi menyiasat insiden penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak pada Ahad lalu.

Beliau berkata, pihaknya bersedia menerima apa sahaja cadangan atau pandangan mahupun kritikan terhadap pihak berkuasa air Pulau Pinang, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi menambah baik pengoperasian bekalan air di negeri ini.

"Kita terima baik apa-apa cadangan yang dapat menambah baik keadaan baik daripada pimpinan parti atau Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan industri mahupun individu atau pengguna air juga dialu-alukan memberi pandangan.

"Kita juga akan meneruskan usaha supaya rundingan berkaitan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) dapat diteruskan agar Pulau Pinang akan memperoleh sumber air mentah baharu.

"Pulau Pinang juga mempunyai pelan kontinjensi sementara menunggu SPRWTS diluluskan yang mana kita ada lapan projek bernilai RM1 bilion yang ingin dilaksanakan termasuk pembinaan loji rawatan air dan sebagainya," katanya.

Ahad lalu, paras air di Sungai Muda merosot secara mendadak iaitu daripada 1.85 meter kepada 0.67 meter akibat masalah baraj menyebabkan lebih 400,000 akaun pengguna di Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air selain menjejaskan kira-kira 200,000 pengguna di sekitar Kuala Muda, Kulim dan Baling di Kedah.








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 08:41 AM GMT+8 , Processed in 0.490865 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list