CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 133|Reply: 0

[Pulau Pinang] SPAN perlu siasat punca Sungai Muda susut mendadak

[Copy link]
Post time 15-5-2023 05:34 PM | Show all posts |Read mode
SPAN perlu siasat punca Sungai Muda susut mendadak



Oleh Nur Izzati Mohamad - Mei 15, 2023 @ 5:22pm bhnews@bh.com.my




Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K Pathmanathan (kanan) meninjau keadaan paras air Sungai Muda di Muka Sauk Lahar Tiang, Kepala Batas. - NSTP/DANIAL SAAD




KEPALA BATAS: Kerajaan Pulau Pinang meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melakukan siasatan penuh bagi mengetahui punca sebenar penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak, pagi semalam.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata siasatan diperlukan memandangkan ia menyebabkan 400,000 akaun pengguna di negeri itu menghadapi gangguan bekalan air.

Selain Pulau Pinang, katanya, Kedah turut menghadapi gangguan bekalan air terhadap lebih 200,000 akaun pengguna.

"Kita ingin tahu punca kejadian ini kerana bukan sahaja kita terjejas tetapi negeri sana (Kedah) juga terkesan apabila Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Petani terpaksa menghentikan operasi kerana tidak ada air mentah untuk dirawat.

"Di sini (Pulau Pinang), apabila tidak dapat mengekstrak air (di muka sauk Rumah Pam Lahar Tiang), LRA Sungai Dua juga terkesan sehingga air tidak dapat dirawat untuk dibekalkan kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Rumah Pam Lahar Tiang, di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, SPAN perlu menyiasat keadaan itu selepas kejadian satu pintu air tidak berfungsi menyebabkan ribuan akaun pengguna terjejas.

"SPAN juga diminta memerintahkan pihak berwajib sama ada di Pulau Pinang atau Kedah menyemak semua sistem pada baraj sepanjang Sungai Muda.

"Ini bagi membolehkan baraj yang tidak berfungsi atau rosak diganti atau ditambah baik sebagai usaha mengelak kejadian ini berulang," katanya.

Beliau berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan sehingga jam 11.30 pagi tadi, operasi mengekstrak sumber air mentah di Rumah Pam Lahar Tiang di sini kembali kepada asal dengan mencapai kira-kira 83 peratus.

Ia susulan langkah PBAPP melepaskan air mentah dari Empangan Mengkuang semalam meningkatkan paras air Sungai Muda serta mengelak risiko gangguan pengoperasian LRA Sungai Dua.

"Air dari Empangan Mengkuang adalah untuk mendepani krisis air luar biasa dan tindakan PBAPP semalam mengurangkan risiko.

"Sehingga kini, 90 peratus gangguan bekalan air di bahagian Seberang Perai dan Pulau sudah kembali dipulihkan dan memerlukan sedikit sahaja lagi masa untuk memulihkan bakinya," katanya.

Semalam, pengguna air di sesetengah kawasan di Pulau Pinang dilaporkan mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air selama tiga hari susulan insiden penurunan mendadak paras air Sungai Muda.

Berikutan itu, PBAPP menasihati pengguna menyimpan bekalan sebelum bekalan dapat dipulihkan.








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 03:06 AM GMT+8 , Processed in 0.296710 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list