CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 146|Reply: 0

[Pulau Pinang] Hanya 40,000 akaun pengguna masih alami gangguan air

[Copy link]
Post time 15-5-2023 04:30 PM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 15-5-2023 04:32 PM

Hanya 40,000 akaun pengguna masih alami gangguan air

oleh    SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI   15 Mei 2023     03:46pm





Paras air Sungai Muda di Muka Sauk Lahar Tiang naik 1.56 meter sejak jam 11.30 pagi Isnin.




KEPALA BATAS - Paras air Sungai Muda direkodkan naik ke tahap 1.56 meter di Muka Sauk Lahar Tiang sehingga jam 11.30 pagi Isnin.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, operasi pengambilan air mentah di Lahar Tiang kini mencapai 83 peratus sementara operasi pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua telah mencapai tahap 100 peratus, kira-kira 1,000 juta liter sehari (JLH).

Menurutnya, susulan daripada itu, hanya 40,000 akaun pengguna masih mengalami masalah bekalan air berbanding 400,000 akaun sebelum ini.

"Sementara itu, laporan status bekalan air terkini di Seberang Perai dan bahagian pulau adalah 90 peratus. Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berusaha keras untuk mengembalikan bekalan air kepada lebih dua juga pengguna yang terlibat.

"Sasaran kita untuk pulih sepenuhnya adalah pada Rabu atau Khamis namun selepas 36 jam iaitu dari semalam (Ahad), kita berupaya untuk memulihkan masalah bekalan air ini sehingga 90 peratus.

"Daripada jumlah itu, kebanyakan kawasan yang belum pulih adalah di Barat Daya," katanya pada sidang akhbar di Muka Sauk Lahar Tiang di sini pada Isnin.

Pada Ahad, ribuan pengguna di tiga daerah iaitu di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS) dan kawasan selatan Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air bermula Ahad hingga Rabu.

Sesetengah pengguna di kawasan terjejas akan mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air selama empat hari.


Menurut PBAPP, ini kerana, kejadian tidak diduga berlaku di Sungai Muda, Kedah menyebabkan paras air mentah di Muka Sauk Lahar Tiang PBAPP menurun ke bawah 1 meter iaitu hanya 0.4 meter yang mana, paras normal adalah melebihi 2 meter.

Kejadian itu berpunca daripada kerosakan mekanikal pada sensor automatik pada baraj Sungai Muda di Kedah.


Kon Yeow (tengah) ketika memantau Muka Sauk Lahar Tiang untuk melihat paras air terkini pada Isnin.



Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, Pulau Pinang mempunyai satu lagi sumber air iaitu Empangan Mengkuang.

"Air di Empangan Mengkuang adalah untuk menampung bekalan air sekiranya keadaan sangat kritikal. Oleh itu, pada semalam, apabila mendapati LRA Sungai Dua akan terkesan, maka keputusan melepaskan air dari Empangan Mengkuang sudah dilakukan.

"Walaupun abstrak di sini sudah mencapai 83 peratus dan ditambah dengan air dari Empangan Mengkuang, membolehkan LRA Sungai Dua mencapai 100 peratus. Bagaimanapun untuk air sampai ke pengguna, ia akan mengambil masa dan perlu melalui proses normalisasi," katanya.

Beliau menambah, PBAPP sedang mengoptimumkan semua operasi bekalan air dengan matlamat memulihkan sepenuhnya perkhidmatan bekalan air di seluruh Pulau Pinang.

"Apa yang berlaku adalah di luar kawalan kita, iaitu kerosakan di baraj Sungai Muda milikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah. Oleh demikian, kita mohon Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan siasatan terhadap kejadian ini dan punca kejadian.

"Ini kerana, kejadian ini bukan sahaja menjejaskan 400,000 akaun pengguna di Pulau Pinang malah lebih 200,000 akaun pengguna di Kedah. SPAN perlu melakukan siasatan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.

"Kita juga memohon SPAN mengarahkan pihak-pihak berkuasa di Kedah dan Pulau Pinang untuk menyemak semua sistem dalam baraj di sepanjang Sungai Muda khususnya yang berfungsi untuk melihat sama ada perlu diganti kerosakan yang berlaku atau menambah baik kerja penyelenggaraan," katanya.

Ujar Kon Yeow, kerajaan negeri juga meminta Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Lembaga Lembangan Ulu Muda (UMBA) untuk menyusun dan melaksanakan Rancangan Lembangan Ulu Muda bagi kepentingan 4.2 juta orang penduduk di utara.

"Kita tidak boleh mengabaikan kepentingan memulihara lembangan sungai ini demi kebaikan rakyat, ekonomi dan masa depan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

"Kerajaan negeri mahu UMBA menguruskan Lembangan Ulu Muda bagi mengelak insiden sama yang akan menjejaskan bekalan air kepada berjuta-juta penduduk di Pulau Pinang dan Kedah,” katanya.

Tambahnya, PBAPP akan terus mengemaskini maklumat kepada pengguna-pengguna air dari masa ke semasa.




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 04:54 AM GMT+8 , Processed in 0.049266 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list