|
David Teo yang sudah memafkan Mat Over yang menamparnya ketika majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 Bersama Perdana Menteri, enam tahun lalu, enggan menyimpan dendam.
Katanya, dia terbuka dan sedia menawarkan pemilik nama sebenar Sulaiman Yassin itu peluang berlakon dalam mana-mana filem terbitan syarikatnya sekiranya muncul watak bersesuaian dengan pelakon berkenaan.
“Perkara itu enam tahun berlalu. Saya sudah maafkan dia. Ini yang saya katakan kepadanya ketika kami berjumpa dalam sebuah majlis berbuka puasa, baru-baru ini.
Utusan
“Buat apa kita balas dendam atau pendam (marah). Kelak kita yang sakit.
“Saya tetap akan tawarkan dia berlakon kalau ada watak yang sesuai dengannya. Saya tengok dia boleh bawa watak dewasa macam seorang ustaz, ketua kampung dan sebagainya,” katanya ketika ditemui wartawan, semalam.
Majlis yang berlangsung pada Mei 2017 itu turut dihadiri mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dikendalikan pelakon, Datuk Rosyam Nor.
David yang cuba menyuarakan pandangannya ditampar Mat Over yang menganggap cara penerbit itu bercakap kepada Najib selaku tuan rumah ketika itu sebagai biadab.
Dalam masa yang sama, David turut mendedahkan ada rakan-rakannya yang menyarankan agar beliau menyaman Mat Over gara-gara insiden tersebut.
Bagaimanapun, penerbit filem Mami Jarum itu berpendapat tiada keperluan berbuat demikian dan enggan memanjang-manjangkan isu yang sudah lama berlalu.
“Saya percaya rezeki kita akan bertambah kalau kita maafkan orang. Memang, selepas insiden itu, rezeki saya semakin banyak, tidak berkurang,” jelasnya yang menyifatkan insiden itu sebagai sejarah yang tidak akan berulang.
Ia adalah pertama, dan terakhir, katanya.
SUmber: Utusan |
|