CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 276|Reply: 2

[Pulau Pinang] 'Projek tambak laut Pulau Pinang PSI, hanya satu pulau dibina'

[Copy link]
Post time 11-5-2023 01:40 PM | Show all posts |Read mode
'Projek tambak laut Pulau Pinang PSI, hanya satu pulau dibina'


Oleh Audrey Dermawan - Mei 11, 2023 @ 12:42pm audreymd@nst.com.my






PULAU PINANG: Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang membabitkan penambakan laut secara besar-besaran bagi membina tiga pulau buatan, dikecilkan kepada pembinaan sebuah pulau sahaja iaitu Pulau Silikon atau Pulau A, yang berkeluasan 920 hektar.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata projek penambakan laut membabitkan Pulau B yang berkeluasan 560 hektar dan Pulau C seluas 320 hektar tidak diteruskan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang meminta supaya kerajaan negeri mengkaji supaya skop PSI dikecilkan.

Beliau berkata, keputusan itu sekali gus menjadikan projek tambakan laut PSI dikecilkan sebanyak 49 peratus daripada jumlah keseluruhan asal 1,821 hektar projek membabitkan pembangunan tiga pulau yang mencetuskan kontroversi sebelum ini kepada 930 hektar.

Mengikut cadangan asal, PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.

"Perdana Menteri dalam lawatan ke Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan kerajaan Persekutuan akan menyalurkan dana tambahan bagi membantu kerajaan negeri menyegerakan projek pembinaan transit aliran ringan (LRT) Georgetown-Bayan Lepas, dengan mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak berhubung cadangan pembangunan Pulau A (Pulau Silikon).

"Perdana Menteri juga meminta kerajaan negeri mengkaji supaya skop PSI dikecilkan. Jadinya kerajaan negeri menyahut seruan dengan beberapa pendekatan tersenarai iaitu Pulau A seluas 920 hektar akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja tambakan.

"Pulau B membabitkan keluasan 560 hektar dan Pulau C 320 hektar tidak diteruskan.

"Perkara ini juga sudah dibincangkan dalam mesyuarat EXCO semalam dan kita menerima serta bersetuju dengan nasihat Perdana Menteri," katanya pada sidang media di Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini.

Bulan lalu, Kon Yeow berkata, PSI yang membabitkan penambakan laut secara besar-besaran di Pulau Pinang, akhirnya mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Beliau berkata, kelulusan EIA itu diperoleh, dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.

Katanya, kerajaan negeri menerima surat bertarikh 11 April lalu daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya berhubung kelulusan itu. Namun, masih terdapat beberapa proses yang perlu dilalui," katanya.

Bagaimanapun, projek PSI itu mendapat banyak bantahan pelbagai pihak termasuk komuniti nelayan, aktivis alam sekitar dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa projek itu akan memusnahkan eko-sistem marin di kawasan berhampiran.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, mesyuarat EXCO semalam juga memutuskan supaya projek Pulau Silikon akan kekal sebagai tapak LRT dengan keluasan 24 hektar.

Beliau berkata, komponen 'Taman Teknologi Hijau' atau 'Green Tech Park' (GTP) dan 'Heart of Islan' (HOTI) di Pulau Silikon masing-masing akan menjadi pemangkin ekonomi dan produk pelancongan baharu bagi negeri ini.

"Oleh demikina, hanya 115 nelayan dari unit Permatang Tepi Laut yang berhadapan dengan tapak tambakan Pulau Silikon bakal terbabit secara langsung berbanding 496 nelayan (dari empat unit nelayan) sebelum ini membabitkan ketiga-tiga pulau yang bakal dibangunkan.

"Fasa pertama Pulau Silikon berkeluasan 520 hektar (termasuk tapak depoh LRT) dijangka mengambil masa tujuh hingga 10 tahun untuk disiapkan dan hampir tidak akan memberi impak kepada nelayan untuk keluar menangkap hasil laut manakala fasa kedua pulka merangkumi keluasan 400 hektar.

"Secara keseluruhan, jangka masa pembangunan Pulau Silikon termasuk bahagian 'topside' adalah selama 20 tahun," katanya.

Justeru, Kon Yeow berkata, dengan perkembangan terbaru ini, skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk nelayan terbabit akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Taskforce Nelayan yang akan dipengerusikan Timalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Ditanya jika ada keperluan untuk mengemukakan semula Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) baharu, beliau berkata, kemungkinan perkara itu tidak perlu kerana kelulusan sebelum ini adalah untuk tiga pulau.

"Cuma kita sekarang meneruskan projek pembinaan hanya satu pulau," katanya.

Ditanya sama ada terdapat sebarang implikasi kepada negeri ini, beliau berkata perjanjian induk yang ditandatangani sebelum ini hanya untuk pembangunan Pulau Silikon.

"Tiada perjanjian yang ditandatangani untuk pulau B dan C, jadinya tidak akan membabitkan sebarang perkara berkaitan undang-undang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Konsortium SRS, Szeto Wai Loong, berkata mereka akan membelanjakan kira-kira RM6 bilion bagi proses penambakan dan RM2.5 bilion lagi untuk prasarana.

Beliau berkata, berdasarkan model bagi Pulau Silikon, mereka akan menyediakan petak tanah untuk dilelong kepada pembida tertinggi.




Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kiri) menunjukkan Silicon Island (Pulau A) bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang atau Penang South Islands (PSI) pada sidang media di Komtar, Georgetown di sini. NSTP/MIKAIL ONG




sumber


Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 11-5-2023 01:41 PM | Show all posts

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-5-2023 05:10 PM | Show all posts
930.8 hektar masih terlalu luas, batalkan terus PSI - SAM


Siti Aminah Mohd Yusof
am@hmetro.com.m



Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman.




Georgetown: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyifatkan tambakan laut seluas 930.8 hektar bagi Projek Pulau Pinang (PSI) masih berskala besar dan tetap memberi impak buruk terhadap ekosistem laut.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, justeru SAM menggesa kerajaan negeri membatalkan terus projek terbabit dan menolak keputusan mengecilkan Pulau A yang dinamakan Pulau Silikon daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar.

"Keputusan ini masih tidak boleh diterima memandangkan kawasan penambakan terbabit masih sangat besar sekali gus menjejaskan kawasan perikanan dan alam sekitar.

"Selain itu, ia membabitkan jumlah pengambilan pasir yang banyak dari perairan Pulau Pinang termasuk Perak yang dikhuatiri mengakibatkan lebih banyak kemusnahan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Meenakashi menegaskan adalah tidak benar menyatakan hanya sebilangan kecil nelayan akan terjejas kerana projek berkenaan dilihat bakal memusnahkan dataran lumpur, terumbu karang selain menjejaskan habitat marin dan mengganggu penghijrahan udang.

Beliau berkata, ini bermakna, meskipun skala pembinaan pulau buatan itu dikecilkan ia tetap akan menjejaskan nelayan di sepanjang perairan Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Beliau turut berpandangan, tiada keperluan untuk kerajaan negeri meneruskan PSI kerana Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menambah dana dalam satu skim besar bagi membolehkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) segera dilaksanakan di negeri ini.

"Tiada sebarang justifikasi untuk itu dan kita mempunyai tanah di Seberang Perai seperti yang diakui sendiri oleh Ketua Menteri seluas 12,000 hektar jadi batalkan PSI, bukan kecilkannya," katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dan Pulau C dalam Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Mei lalu.

Menurutnya, pengurangan keluasan itu membabitkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada sebuah pulau sahaja.



Disiarkan pada: Mei 11, 2023 @ 3:59pm












Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 10:13 PM GMT+8 , Processed in 0.094485 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list