Kuartet 4x100 wanita negara raih gangsa, pecah rekod kebangsaan [METROTV]
Phnom Penh: Kuartet 'berhijab' mencipta sensasi di bumi Kemboja apabila meraih kejayaan berganda dengan membawa pulang gangsa selain turut memecah rekod kebangsaan dalam acara 4x100 meter (m) wanita, di Stadium Morodok Techo, sebentar tadi.
Larian bertenaga dipamerkan Azreen Nabila Alias selaku pelari pertama diikuti Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Mohd Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling menghadiahkan pingat gangsa buat kem olahraga negara dengan catatan 44.58 saat(s).
Catatan masa itu sekali gus memadam rekod lama iaitu 45.18s yang dicipta Nurul Faizah Asma Mazlan, Siti Fatimah Mohamad, S Komalam Shally dan Zaidatul Husniah di Kejohanan Olahraga Asia ke-22 di Stadium Kalinga, Odisha, India pada 2017.
Pingat emas dimenangi kuartet Thailand dengan catatan masa 44.24s manakala Vietnam membawa pulang perak (44.51s).
AISHAH Rofina menjadi pelari terakhir negara. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Sementara itu, Zaidatul Husniah berkata, kuartet 4x100 wanita negara sememangnya meletakkan sasaran untuk perbaharui rekod kebangsaan yang dicipta pada 2017.
"Kami memang meletakkan sasaran untuk perbaharui rekod kebangsaan dan jika mendapat pingat adalah bonus.. Sudah pastinya kami gembira walaupun mengakhiri perlumbaan dengan pingat gangsa.
" Perkara penting adalah kehadiran saya dalam kuartet 4x100 wanita dapat membantu pelari baharu seperti Afrina dan Aishah yang kali pertama beraksi di pentas Sukan Sea," katanya.
Sementara itu, kuartet 4x100 lelaki tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut merangkul pingat gangsa dalam acara berkenaan.
Kuartet negara terdiri daripada Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa dan Muhammad Zulfiqar Ismail mengakhiri saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 39.36s.
Kuartet Indonesia memenangi acara berkenaan dengan rekod 39.11s manakala perak pula milik Thailand.