CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 174|Reply: 0

[Perlis] Scammer guna foto MB Perlis tawar pelaburan palsu

[Copy link]
Post time 8-5-2023 09:42 PM | Show all posts |Read mode
Scammer guna foto MB Perlis tawar pelaburan palsu


Aizat Sharif
am@hmetro.com.my



MOHD Shukri (kiri) bersama Mohamad Azreen menunjukkan hantaran sindiket pelaburan palsu serta salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kangar. FOTO AIZAT SHARIF




Kangar: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli tampil membuat laporan polis hari ini selepas mendakwa gambarnya digunakan oleh 'scammer' berkaitan sindiket pelaburan palsu yang didakwa patuh syariah.

Beliau hadir untuk membuat laporan di Balai Polis Kangar pada jam 5 petang ditemani Setiausaha Akhbar, Mohamad Azreen Jumri sebelum keluar sekitar satu jam kemudian.

Mohd Shukri yang ditemui berkata, pihaknya menerusi Urusetia Penerangan Negeri Perlis dimaklumkan mengenai perkara berkenaan pada 14 April yang lalu mengenai penggunaan gambar beliau secara haram oleh individu tidak bertanggungjawab melalui laman sosial Facebook.

"Tujuan laporan polis ini dibuat selepas melihat gambar saya digunakan oleh 'scammer' yang menggunakan identiti sebagai 'Dale Friedman' mengenai pelaburan yang didakwa patuh syariah yang tular di Facebook.

"Malah pelayar media sosial berkenaan yang melihat hantaran berkenaan didapati 'like' dan berkongsi hantaran berkenaan kepada orang lain.

"Saya pada mulanya mengeluarkan kenyataan di media sosial untuk menafikan pembabitkan dalam pelaburan berkenaan serta penggunaan gambar saya sudah digunakan secara haram oleh individu terbabit.

"Namun begitu, apabila hantaran daripada sindiket itu dilihat masih berterusan dan tetap menggunakan gambar saya.

"Oleh itu saya bertindak membuat laporan polis bagi memastikan tidak ada sesiapa yang tertipu atau terpengaruh berhubung pelaburan berkenaan," katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di sini hari ini.

Katanya, apabila diteliti, sindiket pelaburan palsu itu dilihat tidak hanya menggunakan gambarnya malah beberapa pimpinan PAS yang lain seperti Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya dan Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Isris Ahmad.

"Banyak gambar pimpinan kanan PAS yang turut dimanipulasi serta digunakan dalam sindiket pelaburan ini dan diharapkan dengan laporan polis yang dibuat ini, ia akan menghentikan penyebaran hantaran pelaburan palsu ini.

"Ini adalah perbuatan jahat ahli sindiket dan mungkin ada yang sudah terkena (tipu) menerusi pelaburan ini disebabkan jumlah yang diminta itu bermula serendah RM300 sahaja dan ia memudahkan orang ramai untuk tertarik masuk dan menyebabkan mereka ditipu," katanya.

Mohd Shukri berkata, setakat ini hanya rakan terdekat sahaja yang ada menghubunginya untuk memeriksa kesahihan hantaran pelaburan berkenaan.

"Saya jelaskan bahawa semua ini satu bentuk penipuan yang menggunakan gambar pemimpin kononnya pelaburan ini dijamin selamat dan sahih akan mendapat untung walhal ia adalah penipuan semata-mata," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai terutama pelajar atau penuntut insitusi pengajian tinggi yang sering melayari media sosial supaya tidak terpengaruh dengan hantaran pelaburan palsu yang memanipulasi gambar beliau dan pemimpin PAS yang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan laporan polis berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.



Disiarkan pada: Mei 8, 2023 @ 8:58pm












Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 08:20 AM GMT+8 , Processed in 0.452244 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list