View: 343|Reply: 0
|
[Kelantan]
Telaga lama kering, penduduk gali baharu
[Copy link]
|
|
Penduduk mengupah penggali untuk menggali semula telaga kering ekoran cuaca kemarau di Kampung Pauh Butut, Peringat di Kota Bharu baru-baru ini.
KOTA BHARU – Lebih 10 keluarga di Kampung Pauh Butut, Peringat di sini terpaksa menggali semula telaga tiub yang dikorek kira-kira 10 tahun lalu di kawasan rumah mereka apabila air telaga menjadi kering akibat kemarau.
Seorang penduduk, Hafizul Marzuki, 38, berkata, dia terpaksa mencari wang untuk membayar upah bagi menggali semula telaga yang sedia ada pada kedalam empat meter.
Menurutnya, telaga tersebut perlu digali semula sedalam dua meter apabila air sudah kering sehingga menyukarkan penduduk untuk menggunakan bekalan air bersih.
“Saya terpaksa upah dua penggali dengan kadar bayaran RM300 untuk korek telaga. Bekalan air dari Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) pun sering tiada di kampung ini sejak lebih 10 tahun lalu. Jadi, kami hanya guna telaga tiub untuk kegunaan harian.
“Kebanyakan telaga sudah mengalami kekurangan air sejak pertengahan Ramadan lalu dan keadaan bertambah teruk apabila musim kemarau berterusan sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Kemarau menyebabkan banyak telaga menjadi kering dan terpaksa dikorek lagi.
Hafizul memberitahu, ada juga penduduk yang terpaksa menggali telaga baharu kerana sudah tidak tahan dengan air keruh yang keluar dari paip rumah mereka.
Seorang lagi penduduk, Moraswadi Ariffin, 40, berkata, dia tiada pilihan lain apabila air telaga di rumahnya semakin menyusut sejak dua minggu lalu.
Katanya, telaga tiub yang lama sebelum ini digali sedalam dua meter dan perlu ditambah kedalaman kepada empat meter untuk mendapatkan air bersih.
“Kebanyakan penduduk di sini mengunakan perigi untuk kegunaan harian selepas bekalan air AKSB sering terputus.
“Kami mengambil inisiatif sendiri dengan menggali telaga tiub untuk mendapatkan bekalan air.
“Masalah utama telaga tiub adalah ia akan semakin kering ketika musim kemarau. Setakat ini, air di dalam telaga masih boleh digunakan meskipun kadangkala airnya keruh,” katanya.
https://www.kosmo.com.my/2023/05 ... nduduk-gali-baharu/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|