GEORGETOWN: Kerajaan negeri digesa membatalkan Projek Pulau Pinang Selatan, yang membabitkan tambakan laut besar-besaran dan pembinaan pulau buatan di perairan selatan Pulau Pinang.
Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN) berkata, ia berikutan projek itu gagal memenuhi objektif asalnya iaitu untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang, bernilai RM46 bilion.
ALIRAN menjelaskan, kos pelaksanaan PIP dikatakan mencatat lonjakan luar biasa, menyebabkan kerajaan negeri 'merayu' kepada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai sebahagian kos pelaksanaan projek berkenaan, membabitkan pembinaan sistem rel ringan dengan nilai RM10 bilion.
Menurutnya, kerajaan negeri pada 2015 memilih Konsortium SRS diterajui Gamuda sebagai rakan kongsi bagi pelaksanaan pelbagai projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang, bernilai RM46 bilion.
"Pihak yang menyokong cadangan SRS sebelum ini menjelaskan, pelaksanaan PIP akan dibiayai secara sendiri.
Namun, kos pelaksanaan PIP dikatakan mencatat lonjakan luar biasa, berbanding cadangan asal dikemukakan perunding Halcrow dalam cetakan biru pengangkutannya.
"Mereka juga asalnya mendakwa tiada dana awam diperlukan kerana hasil jualan tanah tambakan memadai untuk membiayai pelaksanaan projek, selain menjelaskan hanya memerlukan pinjaman penyambung kecil sebagai modal.
"Menerusi fasa satu, kerajaan negeri sepatutnya menjual tanah tebus guna dari Pulau A dan B bagi mengumpul dana membiayai sistem kereta api landasan tunggal ternaik (menghubungkan) Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang-Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) bernilai RM10 bilion dan Lebuh Raya Pan Island Link bernilai RM9 bilion.
"Namun, model pembiayaan berkenaan gagal. Pasaran hartanah yang lembap dan kemajuan penambakan lebih perlahan menyebabkan Pulau A (atau sebahagian daripadanya) hanya menjana beberapa bilion ringgit bagi lebihan bersih," katanya.
Mengulas lanjut, ALIRAN mendakwa, projek tambakan laut dengan keluasan lebih 1,700 hektar itu juga hanyalah 'mainan hartanah' bagi sesetengah kontraktor dan pemaju.
"Inilah yang diramalkan pengkritik ketika cadangan berkenaan mula dilontarkan. Malah, retorik rasmi ditukarkan secara senyap-senyap kepada 'penambakan kini bukan lagi untuk membiayai PIP'.
"Sebaliknya, ia bakal menyediakan tanah untuk meningkatkan ekonomi Pulau Pinang. Namun, masih terdapat banyak tanah di Seberang Perai," katanya.
BH terdahulu melaporkan, Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) PSI akhirnya diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS), dengan 71 syarat yang perlu dipatuhi menerusi surat bertarikh 11 April lalu.
Susulan kelulusan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dilaporkan berkata, pembinaan PSI akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini.
Projek kontroversi itu melalui proses komprehensif berhubung laporan EIA diluluskan pada 25 Jun 2019, tetapi terdapat rayuan sehingga keputusan itu dibatalkan. Laporan baharu diserahkan pada 29 April 2022.
PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan, dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.
Projek ini dibantah komuniti nelayan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di Pulau Pinang kerana didakwa akan merosakkan ekosistem marin di kawasan itu.