CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 243|Reply: 0

[DUNIA] Keaslian baju melayu

[Copy link]
Post time 25-4-2023 02:20 PM | Show all posts |Read mode
Keaslian baju melayu


BAJU cekak musang butang lima simbolik kepada Rukun Islam.

BAJU tradisi untuk upacara formal atau sering digayakan di musim perayaan bagi lelaki adalah baju Melayu.

Imej atau 'karakter' baju Melayu itu yang cukup dengan perlambangan sopan dan penuh kesantunan timur menjadi intipati kepada identiti Melayu sehinggakan ia diperkenalkan sebagai baju kebangsaan Malaysia.

Pensyarah Kanan Seni dan Rekaan (Rekaan Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Muhammad Khalik Mustafa berkata, walaupun rekaan baju tradisi itu sering diberi suntikan nafas baharu, namun ia masih mengikut dan merujuk kepada falsafah rekaan baju tradisi yang menonjolkan sisi 'segak' si lelaki.

"Sejajar dengan perkembangan fesyen semasa seperti pakaian tradisional bangsa dan negara lain mengalami perubahan untuk diterima pakai generasi sekarang, baju Melayu juga tidak terkecuali.

"Namun, rekaan baju Melayu masih berlandaskan kepada dua kategori atau potongan baju pernah dipakai masyarakat terdahulu. Malah, baju Melayu dipakai juga baju dikenakan bangsawan termasuk golongan diraja.

"Rekaan baju tradisi mengikut sejarah, baju Melayu terbahagi kepada dua iaitu baju Melayu teluk belanga atau leher bulat dan baju Melayu cekak musang," katanya.

Tambah pensyarah itu lagi, jika menyusuri sejarah terutama baju Melayu teluk belanga yang menjadi kebanggaan 'Bangsa Johor,'

pakaian itu diilhamkan Sultan Abu Bakar sekitar 1866.

Malah, baju Melayu itu turut dinamakan sempena nama tempat Teluk Belanga yang pernah menjadi pusat pemerintahan Johor sebelum berpindah ke Johor Bahru.

"Transformasi pakaian baju Melayu teluk belanga berlaku dari potongan baju yang labuh dan besar rekaannya pada lengan dan badan pakaian.



FOTO Kesultanan Terengganu Darul Iman, Tengku Abdul Aziz Ibni Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dengan persalinan baju Melayu leher cekak musang.


BAJU Melayu teluk belanga bersamping berdagang luar. Gambar Haji Yakob pada 1910 di Papan, Perak.

"Sekitar 1873, Datuk Jaafar Muhammad memendekkan labuh baju dan ditambah perincian tiga poket. Baju Melayu teluk belanga ini biasanya dipakai dengan warna sedondon bersama seluar.

"Tetapi, ada juga penggayaan baju dan seluar warna berbeza. Pakaian cara ini lebih tertumpu kepada kerabat diraja dan orang kenamaan tertentu sahaja.

"Kebiasaannya golongan ini mengenakan seluar berwarna hitam ataupun warna gelap. Cara pemakaian ini sudah menjadi identiti orang Johor termasuk cara mereka memakai samping di sebelah dalam atau lebih dikenali sebagai 'berdagang dalam'," katanya.

Sementara itu, bagi potongan baju Melayu berkolar atau baju Melayu cekak musang menjadi pilihan sebenarnya mempunyai simbolik begitu dekat dengan agama Islam.

Kebiasaannya rekaan baju berbutang lima dikatakan melambangkan lima Rukun Islam dan seperti baju Melayu teluk belanga, rekaan baju ini berkocek tiga dan mempunyai kekek serta pesak di sebelah tepi baju.

"Rekaan baju Melayu seharusnya mengangkat jati diri bangsa Melayu dan satu bentuk penghormatan kerana ia dekat dengan falsafah luhur baik budaya atau agama.

"Pereka dan pemakai perlu peka aspek itu mengelak keterlaluan dalam rekaan baju Melayu digayakan.

"Kebelakangan ini pengubahsuaian baju Melayu dari segi rekaan dan penggayaan terlalu 'ekstrem' menjadikan bahan bualan dan tular dalam kalangan masyarakat sekarang.

"Contohnya, keaslian rekaan baju Melayu itu sendiri mempunyai ciri-ciri seperti pesak, kekek, leher cekak musang dan leher bulat atau teluk belanga.

"Sekiranya ciri-ciri ini tiada, tidak bersesuaian dipanggil baju Melayu. Asalnya potongan baju Melayu ini adalah potongan segi empat dan dijahit setiap cantuman antara badan dan lengan baju.


MUHAMMAD Khalik juga sentiasa berkongsi tertib dan teknik pemakaian samping yang betul.


"Ketaasuban perekanya melakukan pengubahsuaian sehingga hilang jati diri dan identiti baju Melayu itu apatah bereksperimentasi dengan pemilihan kain yang tidak sepadan seperti 'spandeks' yang melekat di tubuh atau pemilihan kain jarang seperti les yang lebih bersesuaian untuk wanita," katanya.

Beliau tidak menolak pembaharuan rekaan baju Melayu, sebaliknya menyarankan supaya mengekalkan ciri-ciri seperti di leher baju Melayu dan potongan asal dalam memartabatkan keindahan rekaan baju Melayu.

"Biarpun pelbagai perubahan idea pereka mahupun individu mengubah bentuk mahupun cara pemakaian baju Melayu, namun 'DNA' masih perlu dikekalkan.

"Rekaan leher teluk belanga dan cekak musang masih perlu ada dalam setiap pakaian baju Melayu lelaki begitu juga perincian poket.

"Hipsternya pemakaian baju Melayu mungkin dari segi penggunaan motif yang menonjolkan sisi maskulin lelaki Melayu.

"Kebiasaan pereka menggunakan kain polos, corak jalur dan petak selain mereka boleh memilih gaya celoreng atau motif lebih sesuai dengan trend semasa.

"Mungkin juga sebelum ini pakai capal, kini anak muda boleh variasikan dengan pemakaian tanjak sambil mengenakan

'sneakers' atau but.

"Walaupun padanan itu janggal, tapi ia masih tidak melangkaui batas dalam mengenakan pakaian terbabit," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/2023/04/958906/keaslian-baju-melayu

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

30-4-2024 11:12 PM GMT+8 , Processed in 0.086985 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list