|
Pengurus Liverpool, Juergen Klopp. -REUTERS
LIVERPOOL: Jurgen Klopp mengakui Liverpool tidak boleh melampaui perbelanjaan perpindahan mereka untuk mendapatkan pemain kelas "Ferrari" ketika Reds menarik diri daripada memburu bintang Borussia Dortmund, Jude Bellingham.
Liverpool dikaitkan dengan perpindahan pada penutup musim bagi mendapatkan pemain tengah England itu tetapi kini dikatakan akan melihat potensi lain.
Dengan Real Madrid, Manchester City, Manchester United dan Chelsea juga dikatakan berminat bagi mendapatkan pemain berusia 19 tahun itu, pertarungan bagi mendapatkannya jelas akan sukar yang menyebabkan harga akan naik.
Klopp lebih gemar menggunakan dana Liverpool bagi mendapatkan beberapa pemain bagi memperbaiki skuadnya yang semakin berusia menyebabkan mereka kurang menyerlah musim ini.
"Ia bukan mengenai Jude Bellingham, itu jawapan saya ketika ini, tetapi saya tidak faham kenapa kita perlu bercakap mengenai sesuatu yang kita tidak boleh dapat secara teori," kata Klopp kepada wartawan hari ini.
"Kita tidak boleh memiliki enam pemain pada musim panas, setiap seorang berharha £100 juta (RM549.34 juta). Semua orang tahu ia jelas."
"Apabila anda bertanya kepada budak lima tahun apa yang dia mahukan untuk Krismas dan dia memberitahu anda, 'saya tidak tahu, mungkin Ferrari', anda tidak akan berkata 'itu idea yang bagus' – anda akan kata 'itu terlalu mahal, lagipun awak tidak boleh memandunya'.
"Jika budak ini sangat tidak gembira kerana dia tidak dapat Ferrari, ia pastinya kehidupan yang sangat sedih." - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... emain-kelas-ferrari |
|