Polis pada Jumaat lalu menahan gadis berusia 21 tahun selepas dipercayai mencuri kad ATM dan menggunakan wang milik rakan sendiri untuk membeli telefon bimbit berjenama.
Suspek juga dikesan berbelanja pelbagai barangan kegunaan lain sebelum menghilangkan diri sejak 23 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata pihaknya sebelum ini menerima laporan daripada mangsa berhubung pengurangan wang dalam akaun bank miliknya sebanyak RM8,200.
 Seorang gadis diberkas selepas mencuri kad ATM dan menggunakan wang milik rakan sendiri untuk membeli telefon bimbit berjenama. - Foto tular
"Siasatan dijalankan Bahagian Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mendapati transaksi ini bermula pada 23 Mac secara berperingkat.
"Siasatan kemudiannya dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, sehinggalah pihak polis berjaya menjejaki identiti suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek kemudiannya diberkas di sebuah premis di Pandan Perdana, Ampang Jaya, minggu lalu kira-kira jam 12.25 tengah malam.
"Dalam serbuan itu pihak polis merampas sekeping kad ATM milik mangsa dan sebuah telefon bimbit berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan transaksi akaun bank mangsa," katanya.
Semalam, tular di media sosial seorang gadis mendakwa menjadi mangsa rakannya sendiri setelah kad ATM miliknya dicuri selain wang miliknya digunakan untuk membeli telefon bimbit berjenama.
Sumber: BH Online |