|
Pelakon Sharnaaz Ahmad dilihat kurang senang apabila sering 'dijodohkan' kembali dengan bekas isteri, Noor Nabila oleh peminatnya.
Kredit foto: IG
Tegas Sharnaaz, warganet perlu lebih sensitif dan menjaga batas memandangkan Nabila masih berstatus isteri orang.
Isu itu diulasnya ekoran segelintir netizen membuat kompilasi gambar lama dan mesej mereka sewaktu bergelar pasangan suami isteri.
“Saya tidak berhak marah, malah saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan saya. Benda baik, orang doa yang baik, bukan minta saya pergi mati misalnya.
“Tapi, pada masa yang sama kita harus ingat. Dia masih isteri orang. Kena jaga sensitiviti dan perasaan suaminya juga. Jadi itulah pesanan saya buat semua,” katanya dipetik Gempak sewaktu ditemui media pada majlis pelancaran filem terbaru lakonannya, Polis Evo.
Walaupun mengakui terbuka mengenai jodoh, pelakon berusia 38 tahun itu malu untuk menghebahkan soal kisah cintanya kepada umum.
“Ada, saya ada berkenalan dengan gadis, tapi bila sudah usia macam ni, rasa malu nak cerita.
“Cukuplah, saya pernah melaluinya dulu dengan pasangan sebelum ini. Sekarang ini, media boleh tanya orang yang lebih muda tentang hal sebegini (cinta),” ujarnya.
Diharapkan mana-mana yang obses nak Sharnaaz dan Nabila kembali bersama supaya lebih sensitif dalam menghormati dan menjaga hati semua pihak. - CARI
|
|