Polis menahan lelaki di Colombia yang didakwa membakar bekas teman wanitanya 'hidup-hidup' di sebuah dataran di Peru, menurut kerajaan di Lima pada Rabu.
Lelaki Venezuela dikenali sebagai Sergio Tarache Parra, 19, didakwa menyimbah Katherine Gomez, 18, dengan minyak tanah sebelum membakar mangsa di dataran di Lima, pada 18 Mac.
SERGIO Tarache Parra ditahan di Colombia. FOTO Kementerian Dalam Negeri Peru
Remaja perempuan itu memutuskan hubungan dengan lelaki itu beberapa hari sebelumnya.
Gomez dimasukkan ke hospital dengan melecur 60 peratus sebelum meninggal dunia enam hari kemudian dalam kes yang mengejutkan Peru.
Menteri Dalam Negeri Peru berkata, Tarache akan dipindahkan dari Colombia ke Peru, untuk dibicarakan.
Kamera keselamatan menunjukkan penyerang Gomez melarikan diri dari lokasi kejadian, dan polis Peru kemudian menawarkan ganjaran bersamaan AS$12,500 (kira-kira RM55,000) untuk maklumat yang membawa penahanan suspek.
Notis merah Interpol dikeluarkan untuk penahanan Tarache, menurut konsulat Peru di Bogota, Colombia.
Peru, negara dengan populasi 33 juta, mendaftarkan 136 femicide (pembunuhan wanita oleh lelaki kerana jantina), pada 2022 dan angka sama direkodkan pada tahun sebelumnya, menurut angka rasmi.
Rabu lalu, pegawai berkata, jururawat berusia 32 tahun yang dirogol dan diseksa oleh rakan sekerja meninggal dunia selepas dua minggu dirawat di hospital. Dua lelaki ditahan berhubung kes itu.
Dalam satu insiden sama seperti Gomez, seorang lelaki menaiki sebuah bas di Lima pada 2018, menyimbah minyak tanah kepada bekas teman wanitanya, Eva Agreda dan membakar mangsa. Wanita itu meninggal dunia beberapa hari kemudian.
Sumber: Harian Metro |