|
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag merungut mengenai jadual padat menyebabkan pemainnya cedera. - REUTERS
LONDON: Bos Manchester United, Erik ten Hag diminta "diam" oleh pengurus Palmeiras, Abel Ferreira.
Pengendali dari Belanda itu berang selepas bintang penyerangnya, Marcus Rashford mengalami kecederaan selepas kemenangan 2-0 mengatasi Everton.
Selepas perlawanan itu Ten Hag menyalahkan jadual padat perlawanan apabila United bermain sembilan kali pada April.
Katanya: "Dia (Rashford) nampak tidak bagus. Ini tidak dapat dielakkan. Semua sains dan kajian memberitahu anda bahawa pemain perlukan masa tertentu untuk pulih.
"Ia juga disebabkan jadual yang menyebabkan kita berada dalam situasi seperti ini dan kini kami hanya berdoa dia tidak diketepikan."
Skuad Ferreira juga bermain sembilan kali bulan ini dan dia tidak bersimpati langsung dengan situasi dialami Ten Hag.
Pengendali kelab Brazil itu berkata: "Bola sepak di sini ada perkara menakjubkan, tapi ada yang lain seperti bukan manusia. Sembilan perlawanan sebulan.
"Jurulatih Manchester United hari itu merungut mengenai Rashford yang cedera kerana jumlah perlawanan dilalui mereka.
"Saya mahu bertanya atau memberitahunya: 'dalam tempoh dua bulan ini, saya akan lalui sembilan perlawanan dalam kedua-dua bulan.
"Diamlah, kerana anda tidak tahu apa yang anda katakan'."
Ferreira ialah watak yang ditakuti serta sering dibandingkan dengan Jose Mourinho.
Pengendali berusia 44 tahun itu sebelum ini menguruskan Braga di tanah airnya sendiri sebelum kelab Greece, PAOK.
Ketika di Palmeiras, dia menang gelaran liga sekali dan dua kali Copa Libertadores. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... medium=terkinitabhp |
|
|
|
|
|
|
| |
|