|
LIM TEONG KIM
KUALA LUMPUR: Pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim meminta penyokong Bos Gaurus agar lebih bersabar sambil menegaskan, pasangan yang baharu berkahwin pun mengambil masa untuk mendapat anak.
Katanya, Perak dibarisi sebahagian besar pemain muda yang memerlukan masa sebelum matang dan mampu memberi cabaran terbaik.
Kelmarin, Bos Gaurus mengalami kekalahan keempat berturut-turut dalam Liga Super, tumpas 1-0 kepada Kuala Lumpur City (KL City) yang menamatkan permainan dengan 10 pemain di Cheras.
“Memang kita nak menang bukan tak nak, saya minta penyokong bersabar kerana mereka ini pemain muda.
“Kalau kamu kahwin, mesti ambil masa untuk ada anak. Kalau saya tanam pokok durian hari ini, kita perlu tunggu tujuh tahun untuk dapatkan buahnya. Semua perlukan masa.
“Pemain perlukan masa, jika saya tak beri mereka masa untuk bermain dengan pemikiran terbuka di mana mereka boleh buat kesilapan, jadi perkembangan mereka tak akan jadi, bola sepak tentang kesilapan.
“Kalau saya ada 10 pemain import yang berpengalaman, mereka boleh bermain permainan sendiri dan saya boleh duduk diam sahaja.
“Saya tidak ada pemain seperti itu, jadi ia umpama ibu bapa yang perlu beri tunjuk ajar kepada anak bagaimana untuk melakukan sesuatu supaya satu hari nanti mereka boleh berfikir sendiri, ini adalah proses,” katanya.
Selepas mengharungi lapan perlawanan, Perak kini menghuni tangga ke-11 liga dengan sekadar mencatat satu kemenangan, dua seri dan lima kekalahan.
https://www.utusan.com.my/sukan/ ... gu-masa-dapat-anak/ |
|