|
PENYOKONG bersama kain rentang terbalik ketika Kelantan FC menentang Selangor. FOTO Gate H Boys
Kota Bharu: Prestasi tidak menentu dan isu dalaman membelenggu Kelantan FC akhirnya mencetuskan protes dalam kalangan penyokong pasukan itu.
Ultras Kelantan, Gate H Boys menunjukkan rasa kecewa mereka dengan hadir menyaksikan Kelantan FC menentang Selangor FC Ahad lalu sambil mempamerkan kain rentang terbalik dan tiada sorakan suara sepanjang perlawanan.
Malah dalam kenyataan di laman sosial rasmi mereka, pihak penyokong memberi amaran keras kepada pengurusan untuk 'mengubati' segera masalah yang merebak dalam The Red Warriors (TRW).
Penyokong turut berharap usaha serius perlu dilakukan bagi memastikan pasukan tidak terus tercicir mata lebih jauh dan kehadiran penyokong ke stadium lebih merosot.
Dalam lapan perlawanan sehingga kini, Kelantan sekadar menang satu, seri satu dan selebihnya tewas dalam saingan Liga Super musim ini.
Lebih parah, gawang pasukan Pantai Timur ini dibolosi 25 gol, antara rekod terburuk selepas musim lalu gah di tangga kedua liga.
Sementara itu, dalam kenyataan terbaharu, pihak Kelantan FC sedang membuat persiapan untuk mengambil tindakan bersesuaian ke atas bekas ketua jurulatih, Choi Moon-sik melalui Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).
"Tuntutan balas (counter claim) sekiranya bekas ketua jurulatih itu terlebih dahulu memfailkan tindakan kepada kelab" kata kenyataan itu.
Pasukan itu turut akan mengambil tindakan ke atas bekas jurulatih kecergasan, Hyo Jun Park yang meninggalkan kelab tanpa notis walaupun masih dalam tempoh kontrak.
Kelantan FC ketika ini berdepan situasi buruk apabila sekadar menghuni tangga ke-13 daripada 14 pasukan dengan hanya mengutip empat mata, satu menang, satu seri dan enam kekalahan selepas lapan perlawanan, musim ini.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... rw-mula-memberontak |
|