|
JDT 'ratah' Kedah
Pemain JDT Fernando Forestieri meraikan jaringannya ketika menentang Kedah FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadikan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) lubuk tiga mata selepas membelasah pasukan itu 6-0 sekali gus melakar kemenangan kelapan berturut-turut pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Walaupun skuad kendalian Esteban Solari hanya mampu mencipta satu gol pada babak pertama namun di babak kedua, skuad Harimau Selatan bagaikan mengamuk apabila meledak lima gol sekali gus melenyapkan corak permainan skuad Nafuzi Zain yang mahu menampilkan gaya permainan 'Nafuzi ball' yang sekadar omongan kosong dalam perlawanan itu.
Rentak kemenangan JDT bermula dengan serangan bertali arus JDT hampir mencetus jaringan pada minit ke-10 selepas bola lorongan Arif Aiman Hanapi pada posisi sayap kanan berjaya disambar Bergson Da Silva tetapi bola hanya sipi di sebelah kiri gawang ketika penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi sudah tertewas.
Pemain JDT, Arif Aiman terjatuh selepas diasak pemain Kedah FC, Mohamad Heshamudin Ahmad pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA
Pemain JDT, Juan Muniz Gallego (kanan) cuba melepasi pemain pertahanan Kedah FC, Mohamad Heshamudin Ahmad pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA
Sang Kenari yang beraksi secara bertahan akhirnya bolos pada minit ke-23 berpunca daripada bola sepakan sudut Juan Muniz menyaksikan Feroz Baharudin menanduk bola ke hujung sebelah kiri gawang dan Fernando Forestieri yang tidak dikawal menampan bola untuk menjaringkan gol pertama JDT.
Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk menambah jaringan pada minit ke-48 selepas bola hantaran lintang Matthew Davies menyaksikan Feroz melonjak tinggi untuk menanduk bola menewaskan Kalamullah.
Selang dua minit kemudian JDT membunuh semangat perjuangan Sang Kenari apabila Muniz meledak gol ketiga tuan rumah selepas menerima bola umpanan Arif Aiman bagi memastikan kedudukan selesa 3-0.
Memasuki minit ke-52, JDT meraih sepakan penalti selepas Mohd Akmal Md Zahir melakukan kekasaran terhadap Bergson menyaksikan pengadil perlawanan Razlan Joffri Ali tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.
Pemain JDT, Arif Aiman menghalang pemain Kedah FC, Mohamad Heshamudin Ahmad pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA
Bergson yang mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan Kalamullah apabila merembat tepat ke penjuru kiri gawang untuk meletak kedudukan selesa 4-0.
Bermula daripada gerakan pemain gantian, Akhyar Rashid yang menyusup masuk di luar kotak penalti bertindak mengumpan bola kepada seorang lagi pemain gantian, Syahmi Safari yang pantas melorongkan bola kepada Arif Aiman dan dia mudah memperdayakan Kalamullah sebelum menolak bola untuk jaringan kelima.
Di minit akhir permainan, pemain gantian Leandro Velazquez melengkapkan kemenangan bergaya JDT selepas bola rembatan derasnya tepat menerjah jaring untuk memastikan skuad Harimau Selatan menang 6-0.
Pemain JDT, Fernando Martin Forestieri meraikan jaringannya ketika menentang Kedah FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. JDT menang 6-0. - Foto BERNAMA
Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan ... 010/jdt-ratah-kedah
|
|
|
|
|
|
|
| |
|