Hampir tiga tahun berada dalam dunia seni, Dolla bukan sahaja semakin selesa membina nama, malah turut mempunyai peningkatan dari segi kualiti diperlukan sebagai kumpulan penyanyi wanita.
Bagaimanapun, ada juga suara nakal yang mengatakan vokal Dolla masih berada di takuk lama dan perlu diperbaiki.
Mengulasnya, tanpa berselindung, Sabronzo menjelaskan mereka wujud berdasarkan pakej.
"Kami bukanlah sebuah kumpulan bersandarkan kepada vokal semata-mata, tetapi kami jual tarian, imej dan gaya persembahan.
"Namun, kami tidak mengenepikan soal vokal kerana mendapat bimbingan Cikgu Syafie dan nampaknya vokal kami ada peningkatan.
"Aspek lain yang turut diberi penekanan adalah daripada segi komunikasi. Ketika ini, kami lebih yakin berinteraksi dengan peminat atas pentas," katanya.
Sementara itu, kumpulan ini bersikap terbuka jika ada antara anggota mereka mempunyai projek solo.
Malah, Dolla turut memberi sokongan asalkan projek solo tidak mengganggu komitmen terhadap Dolla.
"Biasanya kalau ada antara kami ditawarkan projek solo seperti lakonan, anggota lain akan tahu. Perkara ini tidak akan dirahsiakan.
"Setakat ini, kami diberi kebebasan oleh syarikat pengurusan untuk melakukan projek solo asalkan boleh memberi manfaat kepada Dolla secara keseluruhan.
"Walau apapun, komitmen terhadap Dolla tetap menjadi keutamaan," ujar Sabronzo.
Sumber: BH ONLINE