MARTIAL (dua kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Manchester: Manchester United semakin hampir untuk kembali ke Liga Juara-Juara musim depan apabila Scott McTominay dan Anthony Martial meledak gol ketika melakar kemenangan 2-0 ke atas Everton di Old Trafford, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan anak buah Erik ten Hag naik ke tangga ketiga liga dan mempunyai kelebihan enam mata berbanding Tottenham di tangga kelima.
Tetapi tiga mata yang diraih itu terpaksa dibayar dengan harga tinggi apabila Marcus Rashford dilihat mengalami kecederaan sembilan minit sebelum tamat perlawanan.
Ia mungkin memberi tamparan hebat dalam usaha Red Devils untuk meraih lebih banyak trofi musim ini iaitu di Piala FA dan Liga Europa.
Everton di bawah bimbingan Sean Dyche kekal di luar zon penyingkiran tetapi berpotensi terperosok di tangga tiga tercorot jika keputusan perlawanan lain tidak memihak kepada mereka.
McTominay menjaringkan gol pertama minit ke-36 sekali gus jaringan pertamanya di Liga Perdana Inggeris musim ini.
Martial mengukuhkan kedudukan United dengan meledak gol kedua minit ke-71.
United akan bertemu Sevilla pada suku akhir Liga Europa 14 April ini sebelum berkunjung ke Wembley untuk bertemu Brighton pada separuh akhir Piala FA pada 23 April.