"Saya cuma rindu suasana nak ke bazar Ramadan kerana dengan keadaan saya sekarang, memang susah nak jejak ke bazar kerana tiada kemudahan parking OKU.
"Kalau kena parking jauh, saya memang tak larat nak jalan. Lagi pun, saya pakai walker, jadi agak susah.
"Bukannya apa, kadang tengok orang muat naik gambar pergi bazar, timbul pula rasa rindu nak ke sana," katanya ketika dihubungi mStar.
Bad bagaimanapun tetap bersyukur kerana masih mampu membeli juadah berbuka puasa dengan bantuan rakan sekerja dan masyarakat disekelilingnya.
Dia yang kini bekerja di sebuah bengkel di Bukit Permai, Ampang, berkata hanya membeli makanan di restoran berhampiran atau membuat pesanan daripada rakan sekerja.
"Saya sekarang kerja di bengkel. Kalau budak-budak bengkel pergi beli juadah berbuka, saya pesan saja pada mereka.
"Kadang-kadang, saya bawa kerusi roda naik ke jalan besar untuk melihat apa juadah yang dijual di kedai makan sekeliling.
"Orang-orang dekat sini semua dah kenal saya. Kalau saya nak lintas jalan, mereka akan tahankan kereta untuk beri saya laluan. Alhamdulillah, mereka semua memang baik dan segala urusan saya juga dipermudahkan," ujarnya.
Dalam pada itu, Bad berharap agar pihak berkuasa lebih peka mengenai kemudahan untuk OKU di Malaysia.
"Saya tahu bukan mudah untuk pihak berkuasa menyediakan parking OKU di bazar Ramadan. Namun, sekiranya ada pihak-pihak yang boleh melihat akan masalah ini, saya harap mereka dapatlah lakukan sesuatu.
"Sebelum saya jadi OKU, saya sendiri tidak tahu individu OKU berdepan dengan banyak masalah. Contohnya kalau saya ke pusat membeli-belah juga, banyak kedai yang sukar untuk saya masuk sebab sempit.
"Jadi saya akui kemudahan OKU di negara kita sebenarnya masih belum meluas dan mungkin kurangnya kesedaran tentang perkara ini," katanya.
Pada Januari 2021, Bad terpaksa menjalani pembedahan secara berperingkat memotong jari kakinya yang luka akibat penyakit diabetes di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Biarpun kini pergerakkannya terbatas, Bad sedaya upaya cuba untuk menguruskan diri sendiri tanpa mahu menyusahkan individu lain.
Sumber: mStar