|
CRISTIANO Ronaldo dan Jose Mourinho pernah bekerjasama di Real Madrid dari 2010 hingga 2013.
RIYADH: Jose Mourinho mungkin kembali bergabung dengan Cristiano Ronaldo selepas menerima tawaran 100 juta pound (RM549 juta) setahun untuk berhijrah ke Arab Saudi.
Jika bersetuju, Mourinho, 60, yang terkenal dengan julukan The Special One mempunyai pilihan sama ada mahu menguruskan skuad kebangsaan Arab Saudi atau membimbing kelab yang dianggotai Ronaldo, Al Nassr.
Ketika ini, Al Nassr dibimbing Rudi Garcia, namun pemilik kelab mahu menjadikan pasukan bertaraf antarabangsa, dan Mourinho berpeluang membimbing Ronaldo buat kali kedua selepas mereka bekerjasama di Real Madrid dari 2010 hingga 2013.
“Ronaldo pemain hebat, sama seperti Zinedine Zidane untuk Perancis, tidak akan ada pemain lain lagi sepertinya, Dia menakjubkan, ibarat mesin gol,” jelas Mourinho.
Ronaldo juga senang untuk bekerjasama dengan Mourinho, malah pernah memberitahu, jurulatih kelahiran Portugal itu adalah pengurus terbaik dalam kariernya, lebih tinggi daripada Sir Alex Ferguson.
“Saya letak kedudukannya (Mourinho) di tempat paling atas, saya akan sentiasa mengatakan seperti itu.
“Saya telah beraksi di bawah banyak pengurus hebat, tetapi Jose Mourinho adalah pemikir analitik yang hebat, dia melihat semua perkara dengan terperinci,” jelas Ronaldo. – AGENSI
https://www.utusan.com.my/sukan/ ... onaldo-di-al-nassr/ |
|