Adlan berkongsi perkara itu menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Jumaat.
Dalam pada itu, Adlan berkata, tindakan Shuhada itu mengusik jiwa Hafidz yang 'kalah' apabila melibatkan dua anak kesayangannya itu.
Malah kata Adlan, proses pemulihan kesihatan dan semangat diri Hafidz juga terganggu dan meminta Shuhada tidak merumitkan keadaan.
"Kami tahu bab anak-anak paling mengusik jiwa Hafidz, maka kamu telah mencabar uncle di dalam proses pemulihan kesihatan dan semangat diri buatnya. Kalau kamu tak dapat membantu, kamu jangan merumitkan!”ujarnya.
Adlan turut meninggalkan pesan kepada Shuhada yang sudah 'menjentiknya' dan semua tindak balasnya selepas ini bergantung kepada Shuhada.
Malah Adlan turut memberi pilihan berhubung sesuatu yang akan membuatkan dia duduk dan muhasabah diri.
"Ingat pesan uncle. Kamu dah triggered uncle. Pada hari ini dan mulai hari ini, semua tindak balas bergantung kepada kamu.
"Cuma kamu perlu tahu, uncle mempunyai 11 muka surat bersamaan 4,350 patah perkataan bagi membuatkan kamu duduk dan muhasabah diri. Kamu pilih," katanya.
Adlan berkata, selama ini dia berdiam diri namun Shuhada mula membabitkan anak-anaknya dengan Hafidz dalam melepaskan dendam dan amarah terhadap suaminya.
"Dunia ini bukan kita satu orang yang punya. Dunia ini juga ada tindak balas. Jika negatif yang kamu mahukan, maka negatiflah yang akan datang bergolek.
"Sikap manipulasi, cabar mencabar dan provokasi yang selama ini oleh diri kamu, sedang kamu persembahkan kepada umum," katanya.
Sementara itu, Adlan berkata, tiada ibu bapa yang menyokong anak-anak jika ada melakukan kesalahan atau kesilapan.
Jelasnya, keluarga Hafidz ada cara tersendiri dalam menguruskan kemelut yang berlaku dan ia tidak perlu dihebahkan kepada umum di media sosial.
Sebelum ini, Shuhada ada berkongsi mengenai simptom-simptom dialami anak perempuannya iaitu Humairah berusia 6 tahun yang pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Tunku Fauziah, Kangar, Perlis.
Bagaimanapun perkongsian di Instastory itu turut memperlihatkan Shuhada meletakkan link produk jualannya.
Isu rumah tangga pasangan ini masih belum menemui noktah apabila kes tuntutan pengesahan lafaz cerai dibuat Hafidz terhadap Shuhada ditangguhkan selepas sambutan Aidilftiri.
Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu selain Humairah ialah Umar yang kini berusia 2 tahun.
Sumber: mStar