|
Amelia Henderson diharapkan dapat melunaskan bayaran ‘lump sum’ (secara penuh) lebih RM200,000 tanpa sebarang ansuran kepada ihak Syarikat A. Aida Production Sdn. Bhd.
Peguam Ashmadi Othman yang mewakili produksi berkenaan selaku plaintif berkata, Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, selaku defendan perlu memenuhi keputusan sebagaimana yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Ia membabitkan bayaran pendahuluan RM3,920; ganti rugi am fitnah RM90,000 dan kos penggambaran drama itu sebanyak RM101,325 selain kos RM18,000 (guaman plaintif).
IG
“Kita harap, Amelia dapat melunaskan bayaran itu secara ‘lump sum’ dan bergantung kepada anak guam saya sama ada mahu memberi kelonggaran kepada defendan atau sebaliknya,” katanya.
Ashmadi berkata, Amelia juga perlu melunaskan bayaran lima peratus bagi bayaran pertama dan kos penggambaran drama itu kepada anak guamnya.
Beliau berkata, mahkamah juga membenarkan permohonan plaintif supaya defendan membuat permohonan maaf dan memadamkan video di Instagram yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap syarikat itu.
“Selepas mahkamah memutuskan keputusan, maka pelakon itu perlu menghormatinya, jadi beliau kena bayar dan menurunkan kenyataan fitnah di Instagram dalam masa seminggu. Memandangkan tempoh pembayaran tidak dinyatakan mahkamah, maka kita akan hantar surat tuntutan bayaran kepada pihak Amelia,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, anak guamnya perlu akur kerana Amelia juga berhak membuat rayuan di Mahkamah Tinggi berhubung kes berkenaan.
Sementara itu, peguam, Wan Nurliyana Abdul Rahman mewakili Amelia berkata, rayuan di Mahkamah Tinggi bagi keseluruhan keputusan akan dibuat secepat mungkin.
Ditanya sama ada proses rayuan itu dapat menangguhkan bayaran kepada produksi A Aida, peguam ini berkata, ia tidak bersifat penundaan.
“Kalau mahu penangguhan, kita perlu memfailkan permohonan kepada mahkamah terlebih dahulu,” katanya.
Terdahulu Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur memerintahkan Amelia perlu membayar lebih RM200,000 kepada A Aida Production, berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama, bertajuk ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’, tahun lalu.
Sepanjang perbicaraan bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A Aida dan tiga saksi defendan termasuk Amelia hadir untuk memberi keterangan.
Semasa perbicaraan, seorang pengurus syarikat produksi memberitahu bahawa A Aida Production Sdn Bhd terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.
Sementara Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.
Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.
A Aida bersama sutradara drama, Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Rizal Baharuddin, sepakat membawa perkara tersebut ke muka pengadilan sekaligus memberi pengajaran kepada dua pelakon terbabit.
Bagaimanapun, saman melibatkan A Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu.
Sumber: KOSMO! ONLINE |
|