|
Jenama fesyen terkenal, Jovian meneruskan tradisi lazim dengan melancarkan koleksi raya menerusi kempen Joviankan Rayamu selepas 16 tahun di pasaran.
Istimewa untuk tahun ini, Jovian melancarkan rangkaian Jovian Pop Raya, Selendang Daiyan by Jovian, Dainty Flowers, Nona Malaya (kerjasama dengan Aeon) dan Jovian Men.
Tidak cuma itu, turut dilancarkan adalah rangkaian aksesori Bulan Bintang yang menyaksikan kerjasama bersama Wanderlust + Co dan Jovian Luxe.
IG
Seiring dengan kempen dilancarkan, pengasasnya, Datuk Jovian Mandagie optimis dalam usaha menjadikan empayar niaganya sebagai pusat sehenti raya pilihan seisi keluarga.
“Saya percaya saban tahun, kaum wanita sama ada yang bergelar isteri atau ibu kebiasaannya akan menjadi kepala menentukan perancangan beraya termasuk membeli kelengkapan raya hinggalah pakaian serta barang kemas.
“Justeru, kami mahu menjadikan kempen Joviankan Rayamu sebagai platform beli-belah terbaik untuk keluarga tak kira belian di stor fizikal mahupun atas talian.
“Menerusi kempen ini, segala keperluan seperti baju raya golongan lelaki dewasa dan kanak-kanak, kelompok wanita dewasa dan kecil tersedia untuk kemudahan bersama. Jadi tak perlu fikir jauh, carilah jenama kami untuk persiapan raya anda,” katanya.
Selain itu, Jovian berkata, pihaknya juga telah menerbitkan lebih 40,000 unit keluaran raya termasuk baju, tudung, selendang dan aksesori dengan harga dari RM249 hingga RM999.
“Menerusi kempen raya ini juga kami hidupkan gabungan tradisi dan moden untuk menyemarakkan kembali semangat berhari raya. Kami juga tawarkan belian rangkaian kempen raya ini secara ansuran tiga kali menerusi aplikasi Shopback.
“Menariknya, kami turut hadir dengan tawaran belian kombo tiga helai tudung RM100, sah laku di semua butik dan di laman rasmi kami di www.jovian.com.my,”katanya.
Sementara itu, turut mencuri tumpuan ialah koleksi selendang menampilkan Daiyan Trisha.
Terdahulu, Jovian dan artis jelita itu berkolaborasi menerusi projek pelitup muka.
“Koleksi selendang ini adalah penghormatan kepada kecantikan dan keanggunan wanita, dengan setiap selendang direka dengan teliti untuk menjelmakan rasa keanggunan abadi.
“Dengan rangkaian warna yang menakjubkan dan reka bentuk yang rumit, koleksi ini sesuai untuk sebarang majlis, daripada acara istimewa hingga pakaian harian. Ia juga bukan sekadar koleksi selendang biasa, namun menjadi simbol harapan dan ketabahan.
“Projek ini juga jadi kesinambungan keserasian kami bersama Daiyan sekali gus memenuhi permintaan peminat masing-masing” katanya.
Sumber: Utusan
|
|