Chieng giat tinjau kerosakan selepas pascaribut
Chieng (tiga kanan) memerhatikan seorang anggota Pertahanan Awam mengikat kain merah pada sebatang pokok tumbang yang melintangi jalan di kawasan Bukit Assek.
SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng menyifatkan angin kencang yang melanda bandar ini petang Rabu sebagai satu bencana yang belum pernah dihadapi oleh penduduk di sini.
Kejadian angin kencang berserta hujan lebat itu katanya, telah menyebabkan banyak kerosakan kepada kediaman penduduk serta beberapa sekolah di kawasan Bukit Assek.
"Kejadian telah menyebabkan kerosakan terutama di kawasan bandar.
"Antara kawasan terlibat ialah Jalan Punai, Jalan Merlin, Jalan Tiong Hua, Jalan Hua Kiew, Jalan Merdeka, Taman Rejang, Taman Nanyang dan sebagainya," ujarnya kepada pemberita, hari ini.
Chieng bersyukur kerana 13 rumah panjang di kawasannya tidak mengalami kerosakan sementara hanya satu atau dua sekolah mengalami kerosakan serius dan sederhana.
Daripada 13 sekolah dalam DUN Bukit Assek katanya, hanya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart mengalami kerosakan yang agak teruk sementara SMK Methodist hanya mengalami kerosakan kecil.
"Bagi kawasan luar bandar seperti Pulau Keladi, setakat ini belum ada laporan kerosakan diterima daripada penduduk," ujarnya.
Beliau turut memberitahu menerima banyak panggilan daripada ibu bapa yang tidak dapat menghantar anak mereka ke SJKC Uk Daik pagi tadi selepas Lorong Mengris yang menuju ke sekolah terbabit tidak dapat dilalui akibat pokok tumbang dan wayar elektrik.
Namun katanya, beliau telah memastikan jalan tersebut dapat dilalui semula sebelum sesi persekolahan tamat.
"Terima kasih kepada pasukan dari Majlis Perbandaran Sibu (MPS), TM dan SESCO yang telah datang membantu memulihkan keadaan di situ," jelasnya sambil menambah banjir kilat turut berlaku di kawasan Bukit Assek tetapi tidak serius.
Bagi penduduk terutama daripada keluarga B40 yang bumbung kediaman mereka terjejas, Chieng berkata akan membawa perkara itu pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sibu.
"Kita berharap kerajaan dapat membantu mereka dengan bantuan kewangan ketika waktu sukar ini.
"Kita juga berharap prosedur bagi mendapatkan bantuan ini lebih mudah.
"Namun setakat ini kita masih belum tahu apakah bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan," katanya sambil memberitahu Pusat Khidmat N.51 Bukit Assek juga sedang mengumpul data mangsa yang terlibat di mana pusat khidmat ini boleh dihubungi di talian 084-313566.
Menyentuh mengenai bekalan elektrik Chieng memberitahu, masih banyak kawasan yang bekalan elektrik belum dipulihkan sejak malam kelmarin seperti Jalan Tong Sang, Lorong Rhu, Jalan Bukit Assek 6, Jalan Mengris dan Brooke Drive 5.
Namun beliau percaya pihak SESCO sedang sedaya upaya memulihkan bekalan elektrik agar penduduk di kawasan terbabit mendapat bekalan dalam masa terdekat.
|