CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3747|Reply: 0

[Sabah] Tragedi Tanduo: Penduduk trauma hampir disembelih pengganas, jadi 'pelarian sementara'

[Copy link]
Post time 3-4-2023 08:19 PM | Show all posts |Read mode


Ajmain melakonkan semula aksi parang diletakkan di lehernya oleh pengganas Sulu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Batu, baru-baru ini. - Gambar Bernama

Oleh Khatijah Jistoh

LAHAD DATU: Pengalaman hampir disembelih pengganas Sulu dan menjadi ‘pelarian sementara’ masih menjadi igauan ngeri dan meninggalkan kesan trauma kepada penduduk Lahad Datu walaupun tragedi berdarah di Kampung Tanduo itu sudah 10 berlalu.

Menceritakan detik hampir disembelih pengganas Sulu di hadapan rumahnya di Kampung Tanjung Batu, Ajmain Mahmod, 45, berkata dia berada di rumah apabila tiba-tiba sekumpulan pengganas berpakaian celoreng serta bersenjata api dan parang, muncul di hadapan rumahnya.

Lelaki yang bekerja kampung itu berkata seorang daripada anggota kumpulan itu kemudian memanggilnya dan tiba-tiba menampar mukanya dua kali sebelum meletakkan sebilah parang di lehernya kerana dituduh melaporkan tentang kehadiran mereka kepada anggota polis.

"Orang itu kata gara-gara saya, kawan mereka ditembak, saya kata bukan saya yang buat laporan. Dia lepaskan saya, kemudian panggil kami (penduduk ditawan) berkumpul di satu rumah, mereka cakap musuh kami adalah kerajaan, seorang pengganas perkenalkan diri sebagai Jeneral Musa dan kata kamu jangan takut," katanya kepada Bernama.

Menurut Ajmain sebelum kejadian itu, dia menghantar bapanya ke kampung sebelah kemudian kembali semula ke rumahnya dan tidak menyangka akan didatangi pengganas, namun bersyukur isteri serta anak perempuannya lebih awal meninggalkan kampung ke tempat selamat di Dewan Fajar Harapan yang disediakan kerajaan.

Ajmain berkata dia kemudian turut mengambil peluang menyelamatkan diri dengan melarikan diri ke Dewan Fajar Harapan di Felda Sahabat 22 selepas berpura-pura menawarkan diri membeli beras kerana pengganas berkenaan memaklumkan mereka lapar kerana sudah beberapa hari tidak menjamah nasi.

"Selepas itu, saya juga menumpang di rumah abang sulung iaitu perumahan kilang, itu pun dalam rumah saja, bila keluar rumah timbul rasa takut,” katanya.

Menurut Ajmain selepas suasana reda dan penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, perasaan takutnya sentiasa ada, tidur malam tidak lena, kalau ada sahaja bunyi pelik, dia akan takut dan keadaan itu berlarutan selama tiga bulan.

"Saya tidak mahu kejadian ini berulang, saya trauma, mahu pergi mana-mana pun rasa takut, cukuplah kejadian yang lepas, syukur kehidupan sekarang lebih baik. Alhamdulillah ada pihak keselamatan," katanya yang kini bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Menurut Ajmain kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) pada ketika ini memberi keyakinan kepada penduduk bahawa kejadian seumpama itu tidak akan berulang lagi.


Karman menunjukkan kesan lubang di dinding rumahnya yang terkena peluru sewaktu pertempuran pasukan keselamatan dengan pengganas Sulu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Batu, baru-baru ini. - Gambar Bernama

Peniaga runcit, Karman Muksan, 62, pula berkata dia awal-awal meninggalkan rumahnya di Kampung Tanjung Batu bersama anak saudaranya ke Dewan Fajar Harapan pada waktu malam selepas mendengar khabar pengganas Sulu itu sudah memasuki kampung namun suaminya berkeras tidak mahu meninggalkan rumah.

"Selepas saya meninggalkan kampung, keesokannya, ada 20 pengganas keluar dari hutan, waktu itu dia (suami) sedang menyapu halaman depan kedai, dia hairan kenapa askar ini lalu hutan, dari mana mereka ini, bila pengganas sudah hampir baru dia perasan itu bukan askar, pengganas masuk kedai, ambil semua makanan, mereka lapar.

"Rumah kami jadi tempat mereka berkumpul, suami jadi tahanan mereka selama tiga hari dan ada anggota yang kawal suami walaupun dia (suami) solat, selama tiga hari itu, suami tidak makan, dia takut, tapi pada hari ketiga suami melarikan diri,” kata warga emas itu yang memberitahu suaminya meninggal dunia pada 2017.

Beliau berkata suaminya yang hanya ingin dikenali sebagai ‘Pakcik Amir’ ketika itu berjalan kaki hampir dua hari melalui ladang dan sampai di Dewan Fajar Harapan pada waktu malam serta menangis sejurus menemuinya di dewan itu.

Karman berkata barang-barang di kedai runcit miliknya itu turut habis digunakan pengganas, terutama barangan makanan seperti beras, makanan dalam tin termasuk kari ayam, sardin dan yang tersisa hanya cecair pembersih serta garam, selain barang-barang di rumah turut hilang serta hancur.

"Selepas dibenarkan balik rumah, sedih, melihat rumah hancur, habis semua atap, dinding lubang sana sini...sedih, tidak ada apa-apa sudah, periuk tiada untuk masak, piring hancur, semua hancur, baju hancur, almari hancur, aku sumpah-sumpah juga pengganas tu," katanya lagi.

Beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana sedaya upaya memberi jaminan keselamatan kepada penduduk antaranya dengan mewujudkan pos pasukan keselamatan iaitu polis dan tentera di Tanjung Labian serta Tanjung Batu, selain perintah berkurung yang dikuatkuasakan di kawasan laut.

Tragedi yang mengorbankan 10 perwira negara dan 68 pengganas Sulu itu tercetus selepas kira-kira 100 pengganas Sulu dari Selatan Filipina mendarat di pantai Kampung Tanduo,kira-kira 130 kilometer dari bandar Lahad Datu pada 12 Feb 2013.

Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013. - Bernama


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 01:46 PM GMT+8 , Processed in 0.054039 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list