Pelawak Atu Zero memaklumkan sudah mendapat respons daripada wakil Awesome TV susulan luahannya berhubung isu bayaran tertangguh kerana penglibatannya menerusi rancangan Awesome Raja Lawak tahun lalu.
Bagaimanapun di sebalik berita baik tersebut, isteri kepada Atu iaitu Shafeeqa Johari meluahkan rasa kesal apabila suaminya itu menerima kata-kata kurang enak dari pihak berkenaan.
"Ada banyak lagi peribahasa Melayu yang lebih enak untuk digunakan. Nak bahasakan seseorang dengan anjing bukan penyelesaian yang baik.
"Bila suami tunjukkan mesej ini, saya sebagai isteri yang melihat suami bekerja rasa sedih. Sampai begini mereka buat suami saya," luahnya.
Syafeeqa menulis perkara tersebut di laman Instagram miliknya pada Isnin.
Menerusi perkongsian tersebut, dia turut memuat naik tangkap layar perbualan Atu dan pihak berkenaan yang mengibaratkannya seperti anjing makan tuan.
Selain soal bayaran tertunggak, Shafeeqa juga memberitahu Atu terpaksa melakukan kerja yang diluar perjanjian kontrak.
"Kesian saya tengok suami kerja. Kadang-kala kerja tiada dalam kontrak pun dia buat. Dia hanya perjuangkan hak datang kerja dan komitmen yang telah diberikan.
"Kami bukan orang kaya, berkehidupan mewah yang boleh petik jari sahaja. Rezeki ini pun bukan hak kami semua, ada untuk anak-anak, ibunya, misi bantuannya termasuklah saya sebagai isteri," ujarnya.
Menerusi tangkap layar perbualan yang dimuat naik, wakil stesen televisyen berkenaan secara sinis turut mengucapkan terima kasih kepada Atu kerana telah merosakkan nama baik mereka.
Individu tersebut turut memastikan bayaran akan dibuat seperti dijanjikan namun meminta Atu untuk sabar menunggu.
Pada Sabtu lalu, Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif, 31, meluahkan rasa kesal apabila terpaksa menagih bayarannya dari stesen televisyen berkenaan.
Lebih malang, dia menggunakan wang sendiri sepanjang menjalani penggambaran namun apabila bayaran dituntut dia hanya diberi janji kosong.
Sumber: mStar, IG Shafeeqa_johari